Malaysia, Indonesia teroka peluang kerjasama dalam sektor halal dan pelancongan mesra Muslim

25/04/2025 - 12:33
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 25 April - Malaysia dan Indonesia komited meneroka kerjasama lebih erat dalam industri halal dan pelancongan mesra Muslim, yang berpotensi besar menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi serantau.
Inisiatif itu dibincangkan semasa kunjungan hormat Menteri Koordinator Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Prof Dr Pratikno kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, sempena Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN ke-33 di Kuching.
Ahli Parlimen Bintulu berkata, mesyuarat tersebut turut berfungsi sebagai platform untuk merapatkan hubungan dua hala dan meneroka peluang kerjasama dalam pertukaran budaya dan pembangunan pelancongan.
"Antara bidang utama yang dibincangkan ialah peningkatan kerjasama dalam industri produk dan perkhidmatan halal, termasuk pelancongan mesra Muslim.
"Dalam konteks ini, saya berkongsi inisiatif Malaysia melalui Pusat Pelancongan Islam (ITC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), yang memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem pelancongan mesra Muslim di Malaysia.
"Saya turut menekankan kepentingan mewujudkan model penginapan dan perkhidmatan mesra Muslim, dengan Hotel Seri Malaysia dijadikan contoh bagaimana prinsip pelancongan Islam boleh diselaraskan dalam sektor hospitaliti," katanya dalam satu kenyataan.
King Sing juga berkata, kedua-dua negara sepakat untuk merasmikan kerjasama, dengan fokus kepada pembangunan pelancongan Islam dan industri halal.
"MOTAC akan meneruskan penglibatan teknikal lanjut dengan rakan sejawat di Indonesia dan agensi masing-masing dalam beberapa bulan akan datang," katanya.
Pada hari sama, King sing turut menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, dengan membincangkan beberapa inisiatif strategik di bawah kepimpinan Malaysia semasa bagi Rukun ASCC (ASEAN Socio-Cultural Community).
Antara topik yang dibincangkan termasuk memuktamadkan kerangka keputusan serta memperkukuh mekanisme pemantauan dan penilaian pelan strategik menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengesahkan semula sokongan padu Malaysia terhadap kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN.
"Enam daripada tujuh kriteria telah dipenuhi, fokus selebihnya ialah penjajaran dengan instrumen undang-undang ASEAN. Malaysia tetap komited untuk membantu Timor-Leste melalui sokongan teknikal dan inisiatif pembangunan kapasiti di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP)," katanya.
Mengenai Sidang Kemuncak Menteri Pelancongan ASEAN 2025, King Sing berkata, ia akan diadakan bersempena dengan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Dunia.
"Sidang kemuncak ini akan menjadi platform bagi merangka Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) Pasca-2025, dengan sokongan Sekretariat ASEAN dan Bank Pembangunan Asia," katanya.- DagangNews.com
standard


