
KOTA BELUD: Empat lelaki berusia 20 hingga 50 tahun ditahan dalam serbuan berasingan di beberapa kampung di daerah ini selepas didapati terlibat kegiatan memproses dan menjual air ketum.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menjalankan serbuan bermula 24 Mei lalu hingga Khamis.
Katanya, tangkapan itu dijalankan hasil maklumat risikan dan serbuan dibuat di Kampung Taun Gusi, Tampasuk 1, Kampung Suang Punggur, Kampung Pintasan dan Kampung Ambong.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Tangkapan pertama adalah seorang lelaki di sebuah rumah di Kampung Pintasan pada jam 11.30 pagi. Turut dirampas, lapan botol berisi 1.5 liter air ketum.
“Dalam serbuan kedua pada jam 3.25 petang di Kampung Taun Gusi, pasukan polis menahan seorang lelaki bersama 24 botol 1.5 liter berisi air ketum di sebuah rumah yang didiami oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.
Pada 5 Jun, serbuan dijalankan di sebuah rumah di Kampung Ambong, di mana dua lagi lelaki ditahan bersama 10 botol 1.5 liter berisi air ketum.
“Pasukan polis juga merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memasak air ketum berkenaan.
“Siasatan lanjut mendapati, air ketum berkenaan dijual kepada pelanggan dengan harga anggaran RM25 sehingga RM30 sebotol,” ujarnya.
Shahrudin menambah, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang mana jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi seumpama kes ini dari semasa ke semasa demi kesejahteraan penduduk daerah ini,” katanya.



