4 Pelakon Sado Dan Kacak Ini Dikaitkan Dengan Kes Pukul Kekasih

16 Jul 2024 • 8:05 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Antara nama-nama yang disebut netizen ialah Zul Ariffin, Taufiq Hanafi, Syazwan Zulkifli dan Ammar Alfian.

Baru-baru ini kecoh apabila media melaporkan seorang pelakon kacak dan bertubuh sasa didakwa telah memukul teman wanitanya.

Teman wanita aktor berkenaan telah membuat laporan polis dan berita ini telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

Berdasarkan ciri-ciri yang dilaporkan mengenai aktor berkenaan yang dikatakan berwajah kacak, bertubuh sasa dan berusia 37 tahun, ramai netizen mula membuat andaian masing-masing.

Antara nama-nama yang disebut netizen ialah Ammar Alfian, Zul Ariffin,  Syazwan Zulkifli dan Taufiq Hanafi. Namun kesemua aktor ini menafikan dakwaan tersebut.

Zul Ariffin menerusi kenyataannya terhadap sebuah akhbar tempatan memberitahu bukan dia aktor dimaksudkan dan tiada dalam keturunannya lelaki yang memukul perempuan.

Tuduhan yang sama turut disangkal oleh pelakon filem Paskal iaitu Taufiq Hanafi yang menafikan bahawa dia memukul teman wanita kerana dirinya tidak mempunyai teman wanita.

Ammar Alfian pula menafikan dakwaan bahawa dialah aktor yang dimaksudkan menerusi komen balas kepada seorang netizen.

Terbaru, polis telah menerima keterangan daripada aktor yang dikendaki selepas dia hadir ke balai polis pada Rabu lalu sambil ditemani bapanya.

Terdahulu, pada 8 Julai lalu media melaporkan seorang wanita membuat laporan dibelasah teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar@Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mangsa yang merupakan peniaga sudah menjalin hubungan cinta dengan suspek kira-kira lapan bulan lalu.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya selepas berlaku perselisihan faham.

"Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara," katanya.

Difahamkan, lelaki tersebut kemudian memarahinya sebelum menumbuk pada mata kiri dan badan mangsa.

Kes disiasat di bawah 323 Kanun Keseksaan. – Getaran, 16 Julai, 2024

Foto: Instagram