Xiaomi Bakal Menawarkan Ciri Mematikan Iklan Pada Peranti Hanya Dengan Satu Butang

TechnologyDigital
16 Jul 2024 • 11:55 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Syarikat jenama telefon pintar Xiaomi dikatakan akan menawarkan pengalaman bebas iklan kepada semua penggunanya. Justeru itu, menurut beberapa laporan baru-baru ini mendakwa bahawa Xiaomi kini sedang menguji ciri yang membolehkan pengguna untuk mematikan iklan di dalam seluruh sistem pada peranti hanya dengan satu butang tetapan.

image is not available

Masalah dan kekecewaan yang seringkali dihadapi oleh pengguna telefon pintar Xiaomi akibat lambakan iklan yang seringkali muncul dalam sistem aplikasi bakal menemui jalan penyelesaian. Ciri seperti ini pastinya amat dinanti-nantikan sekaligus menjadi satu kelegaan kepada masalah iklan pada sistem HyperOS yang digunakan oleh Xiaomi.

Langkah ini juga akan dapat meningkatkan pengalaman baik pengguna dan membolehkan pengguna memiliki kawalan yang lebih terperinci ke atas penggunaan sistem dan data privasi. Buat masa ini, pengguna masih boleh mematikan iklan tetapi melibatkan beberapa tetapan yang menjengkelkan di samping ia memakan masa dan tidak semua orang mengetahui caranya. Justeru itu, dengan adanya fungsi ini kelak menjadikan proses mematikan iklan pada seluruh sistem aplikasi peranti dapat dilakukan dengan mudah.

Walau bagaimanapun, belum ada pengumuman rasmi yang dibuat oleh Xiaomi mengenai ciri ini tetapi pihak mereka mengakui sedang mengusahakan cara untuk mengurangkan iklan dalam perisian telefon pintar keluaran mereka.