amree11/11/2026 - 12:20 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov — Empat rangkaian hospital swasta utama menunjukkan minat untuk menyertai inisiatif MediAsas, sekali gus memberi petunjuk positif terhadap usaha memperluas akses rakyat kepada perlindungan insurans dan takaful perubatan pada kos lebih mampu milik.
Inisiatif tersebut yang dijangka dilaksanakan di seluruh negara menjelang akhir Januari 2027 itu merupakan sebahagian daripada strategi RESET bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta serta memperkukuh akses kepada pelan perlindungan perubatan yang mampan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan komited melancarkan skim tersebut pada awal tahun depan bagi memperluas akses perlindungan insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) yang mampu milik secara mampan kepada rakyat berpendapatan rendah.
"Pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak juga bakal menikmati subsidi premium menerusi pelan MediAsas apabila inisiatif perlindungan perubatan mampu milik itu dilaksanakan di seluruh negara pada akhir Januari 2027," kata beliau.
Chin Tong menjelaskan demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Alias Razak (PN-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat pada Rabu berhubung indikator dan kriteria kejayaan program rintis MediAsas sebelum pelaksanaannya di peringkat nasional.
Menurut beliau lagi, pelan berkenaan turut menjadi platform kepada pelaksanaan inisiatif lain bagi menangani isu peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta dalam tempoh jangka panjang.

"Program rintis MediAsas yang sudah bermula pada penghujung Julai 2026 dilaksanakan secara terkawal di sekitar Lembah Klang bagi menilai kesediaan operasi pengendali pihak ketiga (ITO) dan hospital swasta," katanya.
Mengulas lebih lanjut, program rintis berkenaan turut menilai tahap penerimaan serta pemahaman pengguna terhadap pelan berkenaan sebelum diperluaskan kepada pasaran lebih besar.
Tambahnya, program tersebut membabitkan pelbagai kumpulan pengguna termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), PKS serta pekerja gig.
"Maklum balas awal yang diterima menunjukkan penerimaan menggalakkan, manakala sesi libat urus bersama pihak berkepentingan terus dilaksanakan bagi memahami keperluan dan kebimbangan pengguna.
Selaras dengan pengumuman Belanjawan 2027, kerajaan turut menyediakan subsidi premium MediAsas kepada pekerja PKS yang layak bagi menggalakkan perlindungan MHIT lebih meluas dalam kalangan tenaga kerja.
Inisiatif itu khususnya menyasarkan pekerja yang mempunyai perlindungan insurans dan takaful perubatan yang terhad atau langsung tidak mempunyai perlindungan berkenaan.
Chin Tong berkata, pelaksanaan MediAsas di peringkat nasional pada akhir Januari 2027 kini berada pada landasan ditetapkan, dengan dapatan program rintis serta maklum balas pihak berkepentingan akan terus digunakan untuk memperhalusi reka bentuk pelaksanaannya.
Kerajaan berharap inisiatif itu dapat memperluas akses kepada perlindungan perubatan yang lebih mampu milik dan mampan, selain menyokong usaha menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta. - DagangNews.com



