Gagal bayar ansuran CP500 tidak dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara – Dewan Rakyat diberitahu

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 11:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gagal bayar ansuran CP500 tidak dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara – Dewan Rakyat diberitahu Image from: Gagal bayar ansuran CP500 tidak dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara – Dewan Rakyat diberitahu amree11/11/2026 - 11:55 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov — Pembayar cukai yang gagal menjelaskan ansuran cukai CP500 tidak boleh dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara semata-mata atas kegagalan itu kerana bayaran berkenaan bukan taksiran cukai muktamad, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

 

Beliau menambah, liabiliti cukai sebenar seseorang pembayar cukai tersebut hanya ditentukan selepas Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi tahun taksiran berkenaan dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

 

Sehubungan itu menurutnya, jumlah cukai sebenar akan dikira semula berdasarkan kepada BNCP dengan mengambil kira potongan bagi ansuran CP500 yang sudah dibayar.

 

"Sekiranya masih terdapat baki cukai yang perlu dijelaskan dan pembayar cukai gagal membuat pembayaran dalam tempoh ditetapkan, baki berkenaan akan diklasifikasikan sebagai tunggakan cukai," kata Chin Tong.

 

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Chow Yu Hui (PH-Raub) di Dewan Rakyat pada Rabu berhubung kuasa LHDN menyekat perjalanan ke luar negara akibat tunggakan CP500 serta asas perundangan pelaksanaan tindakan berkenaan.

 

Mengulas lanjut, kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia boleh mengenakan sekatan perjalanan terhadap individu yang disenarai hitam atau ada tunggakan hutang dan cukai dengan agensi kerajaan termasuk LHDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.

 

LHDN_DagangNews2026

 

Bagi LHDN ujar Chin Tong, sekatan perjalanan boleh dikenakan terhadap individu yang gagal menjelaskan tunggakan cukai pendapatan atau cukai keuntungan harta tanah, selaras dengan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

 

"Pihak LHDN bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi menghalang individu atau pengarah syarikat yang culas dalam menjelaskan tanggungan cukai daripada melakukan perjalanan ke luar negara," tegas beliau.

 

Justeru katanya, pembayar cukai dinasihatkan menyemak status tunggakan cukai menerusi portal MyTax serta status sekatan perjalanan melalui laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia sebelum merancang perjalanan ke luar negara.

 

Chin Tong menambah, sekatan perjalanan bukan bertujuan menafikan hak individu untuk bergerak, sebaliknya merupakan langkah penguatkuasaan undang-undang percukaian bagi memastikan tunggakan cukai dapat dikutip oleh kerajaan.

 

Kata beliau lagi, usaha berkenaan penting bagi memastikan hasil cukai yang terhutang kepada kerajaan dapat dikutip dan digunakan untuk membiayai pembangunan negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved