
BANGI - Empat sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penjual durian yang mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih, bulan lalu.
Keempat-empat tertuduh terdiri daripada Asrul Siwi, 32, Amirul Maamur Rosli, 27, Amri Rizani Darus, 36, dan warga Indonesia, Rijal Haryono, 47.
Kesemua mereka mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Saira Banu Mohamed Ashrof Raja.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Asrul dan Amirul Maamur bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa membunuh Mulialisman Nordi, 34, di Batu 28, Sungai Lalang, Ulu Semenyih, Hulu Langat, antara 24 dan 25 September lalu.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah turut berdepan hukuman minimum 12 sebatan.
Sementara itu, Amri Rizani dan Rijal masing-masing berdepan pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan mangsa dengan membantu mengangkut mayat serta mengasah cangkul di tempat dan dalam tempoh kejadian yang sama.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman sama jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias.
Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah juga tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Pada 29 September lalu, media melaporkan mangsa diculik sekumpulan individu yang menaiki sebuah kereta Honda dari sebuah bengkel kereta di Ampang Waterfront, Ampang Jaya. - Getaran, 13 Oktober 2026





