Kecerdasan buatan telah menjadi salah satu topik yang hangat dibincangkan pada 2024 yang lepas. Untuk tahun 2025, trend AI dijangka akan terus berkembang pesat, dan diintegrasikan lebih menyeluruh rentas industri – termasuk arena peruncitan, dan sistem perusahaan.
Menyentuh mengenainya, Mark Micallef, Pengarah Urusan Google Cloud di Asia Tenggara berkongsi sejumlah trend yang akan membentuk adaptasi kecerdasan buatan dalam arena peruncitan pada 2025 ini.

AI Multimodal Menawarkan Lebih Nilai Dan Perincian
Pada hari ini, pelbagai peniaga dan peruncit sedia mempunyai data-data yang banyak. Namun, kebanyakkannya tidak berstruktur dan tidak tersusun, serta kurang digunakan disebabkan oleh sistem sebelum ini yang tidak mesra kandungan pelbagai variasi. Dengan adanya sokongan AI Multimodal, ia boleh menganalisa data daripada kandungan berbentuk imej, video dan teks yang sedia dimiliki oleh peruncit, sekaligus menawarkan perincian, maklumat dan wawasan baharu kepada para penjual dan peruncit.
Antara arena yang ia akan membantu adalah termasuk untuk menganalisa corak jual-beli dalam menguruskan stok barangan, disamping pada masa yang sama menguruskan komunikasi dengan pembekal serta maklumbalas kepada pelanggan. AI juga turut boleh digunakan dalam mengkaji trend visual seperti gambar produk yang pembelian. Pelbagai data yang dikumpulkan kelak boleh digunakan dalam membawa kepada kempen yang lebih berimpak tinggi.
Penemuan Dan Memperibadikan Produk Melalui Hasil Carian Pengguna
Dengan menggunakan sokongan carian dikuasakan Gen AI atau kecerdasan buatan janaan, ia boleh mengubah bagaimana seseorang pengguna menemui produk sebelum melakukan pembelian. Sebagai contoh, terdapat penjual yang memperkenalkan antaramuka carian berbentuk perbualan, sekaligus memberikan pengguna pengalaman seperti berinteraksi dengan manusia dalam menemui produk mereka.
Pada 2025, pelbagai penjual dijangka mengintegrasikan sokongan lebih kurang sama, sekaligus membolehkan pengguna melakukan carian produk yang diinginkan berasaskan kepada bahasa perbualan. Perkara sama turut boleh diimplementasikan di kedai fizikal, dimana kiosk interaktif khusus boleh digunakan dalam membawa pengguna kepada perkara yang dicari.
Ejen AI Membawa Kepada Peningkatan Hasil Niaga
Dengan menggunakan ejen AI, ia dijangka membuka kepada pelbagai ruang baharu untuk berinteraksi dengan pelanggan. Ejen AI ini boleh menjawab pelbagai persoalan, membantu dalam pembelian, selain memberikan cadangan untuk gaya dan produk yang ingin dibeli.
Secara tidak langsung, penawaran ini juga dijangka akan meningkatkan kadar kepuasan pelanggan. Selain jualan di kedai biasa, jualan di restoran juga boleh ditambah-baik melalui penggunaan ejen AI yang menawarkan pilihan makanan atau minuman tambahan selari dengan makanan asal yang dibeli seseorang pelanggan.
AI Menambah Baik Kawalan Kandungan Dan Penjagaan Jenama
Para peniaga juga dijangka akan terus menggunakan kecerdasan buatan dalam menambah-baik integriti jenama. Sebagai contoh, peniaga boleh menggunakan AI dalam menyemak terlebih dahulu gambar dan teks, sekaligus menghalang kandungan yang tidak sesuai daripada diterbitkan kepada pengguna.
AI juga turut boleh menambah-baik sokongan analitik, selain memastikan keselamatan tempat kerja dengan mengenal-pasti sesuatu tingkah-laku yang mencurigakan dalam bentuk masa-nyata.
——
Seperti biasa, penggunaan kecerdasan buatan janaan dalam aktiviti perniagaan dan peruncitan bergantung kepada kaedah penggunaan data. Dengan adanya platform data yang menyeluruh, ia akan memberikan impak dan potensi AI yang lebih baik kepada sesuatu jenama. Syarikat yang mengutamakan integrasi data akan lebih beruntung dalam mengadaptasi kepada pasaran.
Pada 2025 ini, peruncit yang menggunakan AI akan menjana lebih nilai, serta boleh memfokuskan kepada terus mengembangkan penyelesaian dalam industri masing-masing.



