
ALOR SETAR - Empat warga China didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menculik dan mengurung secara salah seorang wanita warga negara itu, dalam kes yang dikaitkan dengan operasi polis sehingga mengakibatkan dua anggota sindiket penculikan maut ditembak.
Huang Jian, 39, Wang Hao Yu, 33, Guan Siqi, 24, dan Liu Tingjun, 46, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, N Priscilla Hemamalini.
Keempat-empat tertuduh didakwa menculik Xiong Xi Qiau, 33, dengan niat untuk menyembunyikan dan mengurung wanita warga China itu secara salah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Amira 2, Taman Amira, Langgar, kira-kira jam 8.40 malam pada 7 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien mengendalikan pendakwaan, manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Jodiah Poh Yi Tying dan S Suresh.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan dengan alasan terdapat risiko tertuduh melarikan diri sekiranya dibebaskan.
Mahkamah kemudian menolak permohonan jaminan dan menetapkan 11 Oktober depan untuk penyerahan dokumen serta sebutan semula kes.
Sebelum ini dilaporkan, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyelamatkan empat warga asing termasuk tiga wanita yang dipercayai menjadi mangsa tahanan sindiket penculikan untuk tebusan.
Dalam operasi pada 7 Ogos di Taman Amira itu, dua daripada lapan anggota sindiket yang disyaki maut ditembak pihak polis.
Polis turut menyelamatkan seorang lelaki warga Singapura berusia 72 tahun dan seorang wanita warga China berusia 33 tahun yang dipercayai ditahan sindiket berkenaan. - Getaran, 15 September 2026





