
ALOR SETAR – Seorang abang berusaha menyelamatkan adiknya yang lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Kulim pada semalam dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
Menurut Muhammad Irfan Hafizuddin Khairol Anuar, 20, usaha itu dilakukan bersama beberapa lagi individu selama kira-kira 15 minit sebelum adiknya, Muhammad Iman Nuruddin, 10, dikejarkan ke Hospital Kulim dengan ambulans.
“Sebelum itu ibu minta saya cari adik kerana belum pulang ke rumah sebab sudah nak masuk waktu maghrib. Sebaik keluar rumah, dari jauh saya sudah nampak terdapat orang ramai dekat longkang.
“Saya terus ke situ dan terkejut melihat adik dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dinaikkan dari dalam longkang. Beberapa individu buat CPR, saya juga beri bantuan pernafasan sebelum ambulans sampai. Waktu itu tiada tindak balas daripada adik,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Katanya, adiknya dan seorang lagi rakan yang dikejarkan ke hospital kemudian disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa maut di lokasi kejadian.
“Adik bongsu saya itu dipercayai merupakan mangsa pertama yang ditemui, adik dijumpai masih di dalam longkang, manakala ada beberapa mangsa sudah dihanyutkan sehingga ke kolam tadahan berdekatan,” ujarnya.
Menurutnya, dia dimaklumkan kejadian dipercayai berlaku ketika empat mangsa itu mahu mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang tersebut.
“Rumah saya dengan padang mereka bermain bola dekat sahaja, boleh nampak dari jauh. Semasa hujan, mereka dah tak main bola dan saya tidak pasti bagaimana kejadian itu berlaku,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan empat kanak-kanak maut selepas terjatuh ke dalam longkang dipercayai ketika mahu mengambil bola dalam kejadian di Taman Desa Kayangan pada semalam.
Dua daripada mangsa berusia sekitar 12 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi berusia lapan dan 10 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya buat CPR tapi adik tak beri tindak balas’ appeared first on Kosmo Online.





