amree26/11/2026 - 12:40 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov — Hampir 40% bekalan minyak mentah Malaysia melalui Selat Hormuz, sekali gus mendedahkan negara kepada risiko gangguan bekalan dan tekanan kos susulan konflik berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran di Timur Tengah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, konflik yang bermula pada 28 Februari 2026 susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran memberi implikasi besar terhadap perdagangan global, khususnya bekalan minyak dunia.
Menurut beliau, gangguan besar di Selat Hormuz turut mencetuskan persaingan sengit bagi pelbagai pihak berusaha mendapatkan sumber bekalan alternatif dengan beberapa negara mula mengehadkan atau menyekat eksport produk strategik masing-masing.
"Keadaan berkenaan mewujudkan tekanan terhadap keseimbangan penawaran dan permintaan global, sekali gus meningkatkan risiko kenaikan harga barangan serta perkhidmatan, termasuk kos logistik dan pengangkutan," jelasnya menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Armizan merujuk pertanyaan dikemukakan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin tahu sejauh manakah kerajaan menjangkakan konflik AS-Iran dan gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz akan
meningkatkan kos sara hidup rakyat, khususnya kenaikan harga barangan.
Ujarnya, bagi menangani kesan konflik, kerajaan mengarahkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersidang setiap minggu bermula 4 Mac 2026 bagi meneliti implikasi krisis serta mengenal pasti langkah intervensi dan mitigasi yang bersesuaian.

Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) ditubuhkan di bawah MTEN dengan penglibatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi pemantauan harian serta menyelaras tindakan merentas kementerian, sektor industri dan pihak berkepentingan.
"Pendekatan kerajaan tertumpu empat keutamaan, iaitu rasionalisasi fiskal, keterjaminan rantaian bekalan strategik, daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta mengurus kos sara hidup menerusi penstabilan harga dan bantuan kepada rakyat," kata Armizan.
Tambah beliau lagi, meskipun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar inflasi global meningkat daripada hanya 3% pada 2025 kepada 4.7% pada 2026, kadar inflasi Malaysia kekal terkawal pada kira-kira 1.9% setakat Oktober 2026.
Kadar itu jelas beliau, masih lebih rendah berbanding Filipina sebanyak 7.8%, Vietnam (5.1%), Thailand (3.9%) dan Indonesia (3.2%), sekali gus menunjukkan kedudukan inflasi negara adalah stabil berbanding beberapa negara serantau.
Dalam jawapan kepada soalan tambahan, Armizan berkata keberkesanan langkah kerajaan turut dapat dilihat apabila bekalan bahan api serta barangan keperluan pengguna dan industri tidak pernah terputus, selain tiada keperluan pencatuan barangan sepanjang tempoh konflik.
Kerajaan akan terus memperkukuh langkah menangani kos sara hidup menerusi inisiatif Belanjawan 2027 dan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) yang dilancarkan pada 24 Oktober 2026, termasuk mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar untuk pengguna domestik dan sektor industri. - DagangNews.com




