Kos pengeluar melonjak 12%, harga barang pengguna berisiko meningkat - BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 5:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos pengeluar melonjak 12%, harga barang pengguna berisiko meningkat - BIMB Securities Image from: Kos pengeluar melonjak 12%, harga barang pengguna berisiko meningkat - BIMB Securities sarah19/11/2026 - 17:44 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Pengguna Malaysia berdepan risiko kenaikan harga barangan apabila kos pengeluar melonjak 12% pada Oktober 2026, paras tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun, meskipun kadar inflasi keseluruhan negara masih terkawal pada 1.9%, menurut BIMB Securities Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan indeks harga pengeluar (IHPR) tersebut merupakan yang terpantas sejak November 2021, mencerminkan tekanan kos bahan mentah dan gangguan bekalan akibat ketegangan berterusan di Asia Barat, walaupun kesannya terhadap harga pengguna masih terhad setakat ini.

 

Menurutnya, inflasi teras Malaysia, yang tidak mengambil kira beberapa komponen harga yang mudah berubah, terus menyederhana kepada 1.5% pada Oktober berbanding 1.7% pada September, sekali gus mencatatkan paras terendah sejak Disember 2021.

 

Perkembangan itu menunjukkan tekanan harga asas dalam ekonomi masih rendah, namun jurang antara kenaikan kos pengeluar dengan harga pengguna perlu diberi perhatian kerana tekanan kos yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko kenaikan harga pada masa hadapan.

 

Tambang penerbangan domestik naik 34.1%

BIMB Securities berkata, tekanan harga paling ketara berlaku dalam sektor pengangkutan apabila kadar inflasinya meningkat kepada 4.2% pada Oktober berbanding 2.5% pada September, didorong kenaikan harga petrol dan tambang penerbangan.

 

Harga petrol meningkat 7.1% berbanding 3.5% pada bulan sebelumnya, manakala tambang penerbangan melonjak 15.1%, termasuk kenaikan 34.1% bagi penerbangan domestik, mencerminkan tekanan kos tenaga global serta permintaan perjalanan yang berterusan.

 

Bagaimanapun, inflasi makanan dan minuman bukan alkohol menyederhana kepada 1.7% daripada 1.8% pada September, dengan kenaikan harga makanan di rumah kekal pada 1.2%, manakala inflasi makanan di luar rumah berada pada 2.5%.

 

OPR dijangka kekal 2.75% hingga separuh pertama 2027

BIMB Securities menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama 2027, memandangkan tekanan inflasi teras masih rendah dan tidak memerlukan kenaikan kadar faedah dalam masa terdekat.

 

Firma itu berpandangan sebarang pelarasan semula OPR pada separuh kedua 2027 bergantung kepada peningkatan inflasi teras secara berterusan melebihi 2.5%, disertai permintaan domestik dan pertumbuhan gaji yang lebih kukuh.

 

Bagi keseluruhan 2027, BIMB Securities mengunjurkan inflasi Malaysia kekal sederhana pada 1.8% berbanding anggaran 1.9% bagi 2026, disokong langkah subsidi kerajaan yang membantu mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi global terhadap pengguna, walaupun tekanan kos pengeluar dan gangguan bekalan terus menjadi risiko utama.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved