
SUDAH lebih dua bulan pemandangan indah di beberapa kawasan negara dicacatkan dengan jerebu sehingga mengganggu aktiviti harian rakyat.
Taman rekreasi yang biasanya dipenuhi pengunjung, kini menjadi lengang, manakala wajah ibu negara pula kelihatan suram diselubungi asap tebal.
Sejak Ogos lalu, asap rentas sempadan telah menjejaskan kualiti udara negara, dengan Sarawak antara kawasan yang paling teruk terkesan.
Serian pernah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 521, sekali gus mendorong pengisytiharan darurat.
Meskipun begitu, bacaan itu bukanlah yang tertinggi dalam sejarah negara kerana ketika jerebu pada 1997, Kuching pernah merekodkan IPU 839.
Sejarah menunjukkan jerebu bukanlah perkara baharu. Episod jerebu serius yang berlaku pada 1982 dan 1997 membuktikan masalah ini sudah berlarutan lebih empat dekad, namun penyelesaian tuntas masih belum dicapai.
Jerebu bukan sahaja membataskan pergerakan di luar rumah, malah mengancam kesihatan, terutama kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), kes jangkitan saluran pernafasan atas meningkat 10.43 peratus daripada 3,509 kepada 3,875 kes, manakala kes radang mata melonjak 26.47 peratus daripada 102 kepada 129 kes pada minggu epidemiologi ke-39 dan ke-40 di 78 fasiliti kesihatan terpilih di seluruh negara.
Bagi ibu bapa, kebimbangan semakin bertambah apabila sekolah yang terjejas terpaksa ditutup.
Keadaan ini bukan sahaja mengganggu pembelajaran murid, malah memaksa keluarga mengubah rutin harian dan mengurus penjagaan anak dalam keadaan yang tidak menentu.
Setiap tahun, persoalan sama terus berulang: sampai bila rakyat perlu berdepan situasi ini setiap kali kebakaran hutan dan tanah di rantau ini mencetuskan jerebu?
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan telah menghubungi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bagi membincangkan keadaan jerebu yang melanda negara.
Anwar turut memaklumkan bahawa Malaysia akan meningkatkan operasi pembenihan awan dan bersedia bekerjasama dengan Indonesia, namun keadaan jerebu yang berlarutan masih menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan rakyat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata, Malaysia akan membawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN bagi membincangkan mekanisme serantau yang lebih berkesan.
“Kita sudah mempunyai mekanisme ASEAN bagi menangani bencana alam, tetapi jerebu tidak termasuk atau diklasifikasikan sebagai bencana alam,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa usaha memadamkan kebakaran di Indonesia berdepan pelbagai cabaran, termasuk jarak penglihatan yang rendah, lokasi kebakaran di kawasan pedalaman dan kebakaran tanah gambut.
Bagaimanapun, rundingan diplomatik sahaja tidak memadai sekiranya tidak disusuli langkah pencegahan yang berkesan bagi menangani punca kebakaran.
Jerebu mungkin beransur reda apabila keadaan cuaca berubah, tetapi tanpa penyelesaian jangka panjang, rakyat berisiko berdepan pengalaman sama pada tahun-tahun mendatang.
The post 40 tahun masalah jerebu masih belum selesai appeared first on Kosmo Online.






