“Bapak, Ini Bukan Soal Malaysia Lawan Indonesia” – Syed Saddiq Bidas Menteri Negara Seberang Berkenaan Isu Jerebu

LocalPolitics
22 Oct 2026 • 10:31 AM MYT
Beautifulnara
Beautifulnara

Cerita dan gosip artis terbaru, sensasi dan panas

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil memberikan respons terhadap kritikan bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi, berhubung gesaannya supaya negara ASEAN mengambil tindakan lebih tegas terhadap Indonesia susulan masalah jerebu rentas sempadan yang berulang.

Syed Saddiq menegaskan bahawa isu pencemaran udara bukan soal pertelingkahan antara Malaysia dan Indonesia, sebaliknya melibatkan hak rakyat kedua-dua negara untuk menikmati udara bersih.

Advertisement

“Ini Bukan Soal Malaysia Lawan Indonesia”

Menerusi satu perkongsian video di TikTok, Syed Saddiq menegaskan bahawa mana-mana pihak yang terbukti menyebabkan kebakaran hutan perlu dikenakan tindakan tanpa mengira negara asal syarikat terbabit.

“Bapak, ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia. Bendera kita berbeza, tapi bila sesak nafas, deritanya sama.”

“Kalau ada bukti hukum, saya tak akan jadi pelindung pencemar walaupun dari negara saya sendiri,” tegasnya.

Menurut beliau, syarikat dari Malaysia, Indonesia mahupun Singapura yang didapati membakar hutan demi keuntungan perlu bertanggungjawab mengikut undang-undang negara tempat mereka beroperasi.

“Bendera Bukan Lesen Untuk Merosakkan Alam”

Syed Saddiq turut menolak tanggapan bahawa beliau cuba mempertahankan syarikat Malaysia yang mungkin terlibat dalam kegiatan pembakaran hutan.

View this post on Instagram

“Saya tidak akan menjadi pelindung pencemar walaupun (pihak berkenaan) dari negara saya sendiri. Jangan memilih bendera perusahaan Malaysia, Indonesia atau Singapura (dan) kalau terbukti membakar hutan untuk keuntungan, cepat ambil tindakan.”

“Bendera bukan lesen untuk merosakkan alam. Mereka (pihak yang bertanggungjawab) beroperasi di Indonesia (tertakluk) di bawah undang-undang Indonesia. Kuasa (mengambil tindakan) di tangan anda (kerajaan Indonesia).”

“Di Parlimen, saya sudah mendesak tindakan terhadap syarikat Malaysia yang (jika didapati) terbabit. Lihat ucapan penuh saya, jangan potong ucapan sampai terpotong kebenaran,” katanya.

Persoal Dakwaan Terhadap Syarikat Perladangan Malaysia

Dalam masa sama, Syed Saddiq menegaskan bahawa pemilikan ladang berskala besar tidak boleh dijadikan bukti sesebuah syarikat bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan.

Mengulas mengenai SG Guthrie, beliau mendakwa setakat ini tiada bukti menunjukkan syarikat berkenaan menjadi pencetus kebakaran.

Menurutnya, syarikat itu mempunyai 67 pasukan dengan lebih 1,000 anggota terlatih serta menggunakan dron dan peralatan inframerah bagi menangani kebakaran, membabitkan perbelanjaan melebihi RM800,000 sebulan.

Syed Saddiq turut mempersoalkan penggunaan data laporan Greenpeace yang menurutnya perlu dibaca secara menyeluruh.

“Kalau mahu petik laporan Greenpeace jangan petik separuh cerita. Laporan itu merekodkan 19 titik sumber asap di konsesi syarikat KLK berbanding 6,811 yang lain.

“Bapak mahu kami hanya fokus kepada penyumbang 0.3 peratus daripada 99.7 peratus yang lain. Jangan lantang terhadap satu nama kemudian senyap terhadap yang lain,” katanya.

Angka dan penjelasan berkenaan merupakan perkara yang dikemukakan Syed Saddiq dalam responsnya terhadap kritikan tersebut.

Dakwa Tawaran Bantuan Malaysia Tidak Mendapat Maklum Balas

Syed Saddiq turut berkata Malaysia pernah menawarkan bantuan bagi menangani kebakaran hutan di Indonesia, termasuk pesawat, tiga helikopter serta anggota yang boleh membantu operasi pemadaman.

Bagaimanapun, beliau mendakwa tawaran tersebut tidak mendapat maklum balas daripada pentadbiran Indonesia.

Menurutnya, usaha menangani jerebu memerlukan kerjasama serantau dan bukannya pertikaian mengenai kewarganegaraan pihak yang terlibat.

“Ini bukan Malaysia lawan Indonesia, ini rakyat yang mahukan udara bersih melawan pihak yang mengotorkannya. Apabila hutan dibakar untuk keuntungan, untung masuk ke akaun syarikat, asap masuk paru-paru rakyat.”

“Jerebu tidak memilih mangsa. Ia tidak membezakan warna kulit, agama atau kewarganegaraan. Anak Malaysia sesak nafas, anak Indonesia juga sesak nafas.”

“Bendera kita mungkin berbeza, tetapi keperluan kita untuk bernafas tetap sama. Jangan bela pembakar kerana benderanya, bela rakyat kerana nyawanya,” katanya.

Muhammad Lutfi Kritik Gesaan Pulaukan Indonesia

Terdahulu, Muhammad Lutfi dilaporkan membidas Syed Saddiq susulan gesaannya supaya ASEAN mengambil pendekatan memulaukan Indonesia berikutan masalah jerebu rentas sempadan.

Lutfi berpandangan isu jerebu tidak sepatutnya dijadikan peluang meraih publisiti politik, sebaliknya perlu mengambil kira penderitaan rakyat Indonesia serta pengorbanan anggota bomba yang terkorban ketika memadamkan kebakaran.

Beliau turut menegaskan bahawa syarikat Malaysia yang mengendalikan ladang di Indonesia perlu bertanggungjawab sekiranya terbabit dalam krisis berkenaan.

Sebelum ini, ketika membahaskan Belanjawan 2027, Syed Saddiq dilaporkan menggesa Malaysia menggerakkan negara ASEAN untuk meningkatkan tekanan terhadap pihak yang dikaitkan dengan pembakaran terbuka.

Antara cadangannya termasuk menghentikan pembiayaan kepada syarikat yang terlibat serta menggalakkan pengguna memulaukan perniagaan berkenaan.

Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

d2026-10-21 11:35:57

"Tak Boleh Ada Budi Bicara Ke, Kami Kecewa Sangat" - Individu Tak Puas Hati Tak Dibenarkan Gabung Meja, Khairul Aming Respon

The post “Bapak, Ini Bukan Soal Malaysia Lawan Indonesia” – Syed Saddiq Bidas Menteri Negara Seberang Berkenaan Isu Jerebu first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved