400 Anak Titiwangsa Dapat Tajaan Lesen Motosikal B2 Percuma

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 11:46 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

400 Anak Titiwangsa Dapat Tajaan Lesen Motosikal B2 Percuma

Seramai 400 anak Parlimen Titiwangsa bakal mendapat manfaat tajaan lesen motosikal Kelas B2 secara percuma menerusi Program Lesen Memandu Motosikal Percuma Siri Ke-4.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen motosikal yang sah.

Menurutnya, program yang memasuki siri keempat itu turut mengambil kira keperluan golongan muda yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian, termasuk mereka yang masih belajar, bekerja bagi membantu keluarga atau sudah berkeluarga.

Katanya, pemilikan lesen sah amat penting terutama sekiranya penunggang terlibat dalam kemalangan kerana ketiadaan lesen boleh menimbulkan masalah dalam urusan tuntutan insurans.

“Apa yang menjadi kebimbangan saya sebenarnya ialah ramai penunggang motosikal ini terdiri daripada anak-anak muda yang sedang belajar, ada yang bekerja untuk membantu pendapatan ibu bapa atau mereka baru sahaja berkahwin dan mempunyai anak kecil di rumah.

“Kalau malang tidak berbau, mereka boleh terlibat dalam kemalangan yang tidak dapat dielakkan.

“Masalah besar boleh timbul iaitu tuntutan insurans mereka tidak diterima kerana mereka tidak mempunyai lesen motosikal yang sah,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, kos mendapatkan lesen B2 di Kuala Lumpur boleh mencecah sehingga RM700, sekali gus menjadi beban kepada keluarga berpendapatan rendah.

Baca juga:

Jelasnya, program itu diwujudkan bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan selain memastikan lebih ramai penunggang motosikal memiliki lesen yang sah.

“Bagi keluarga berpendapatan rendah, masih ramai yang tidak mampu. Oleh sebab itu, saya telah membuat satu kerjasama program bersama pihak JPJ WPKL.

“Saya sediakan bantuan tajaan kepada 400 orang anak-anak Parlimen Titiwangsa bagi membantu mereka mendapatkan lesen B2 ini,” katanya.

Inisiatif tersebut diharap dapat memberi peluang kepada golongan muda mendapatkan lesen motosikal secara sah, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi peraturan dan aspek keselamatan jalan raya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved