
PETALING JAYA – Seramai 400 anak Parlimen Titiwangsa bakal menerima tajaan mendapatkan lesen motosikal Kelas B2 secara percuma menerusi program Lesen Memandu Motosikal Percuma Siri Ke-4.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL).
Beliau berkata, inisiatif kali keempat itu dilakukan bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan lesen motosikal yang sah.
“Apa yang menjadi kebimbangan saya sebenarnya ialah ramai penunggang motosikal ini terdiri daripada anak-anak muda yang sedang belajar, ada yang bekerja untuk membantu pendapatan ibu bapa atau mereka baru sahaja berkahwin dan mempunyai anak kecil di rumah.
“Kalau malang tidak berbau, mereka boleh terlibat dalam kemalangan yang tidak dapat dielakkan.
“Masalah besar boleh timbul iaitu tuntutan insurans mereka tidak diterima kerana mereka tidak mempunyai lesen motosikal yang sah,”katanya dalam satu hantaran di laman Facebook semalam.
Mengulas lanjut, Johari yang juga Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, inisiatif itu penting memandangkan kos mendapatkan lesen B2 di Kuala Lumpur boleh mencecah RM700.
Sekali gus kata beliau, ia menjadi beban kepada keluarga berpendapatan rendah.
“Bagi keluarga berpendapatan rendah, masih ramai yang tidak mampu. Oleh sebab itu, saya telah membuat satu kerjasama program bersama pihak JPJ WPKL.
“Saya sediakan bantuan tajaan kepada 400 orang anak-anak Parlimen Titiwangsa bagi membantu mereka mendapatkan lesen B2 ini,”katanya.-KOSMO! ONLINE
The post 400 anak Titiwangsa dapat lesen motosikal percuma – Johari appeared first on Kosmo Digital.




