Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Isu pengangguran dan kerja tak sepadan dengan kelulusan (underemployment) dalam kalangan anak muda kat Malaysia ni nampaknya masih lagi jadi cabaran besar.
Mana taknya, data terbaru dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kira-kira 400,000 belia berumur antara 15 hingga 30 tahun di negara ini masih menganggur sehingga Jun lalu!
Kadar Pengangguran Belia Catat 6.3%
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, menjelaskan angka pengangguran tersebut berada pada kadar 6.3 peratus dan bukan itu sahaja, isu guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran (underemployment) juga agak membimbangkan.
Bagi Suku Tahun Kedua 2026, kadar belia berumur 15 hingga 24 tahun yang mengalami isu ini mencecah 74.3 peratus, membabitkan 476,300 orang.
Maksudnya, ramai anak muda yang ada ijazah atau diploma (pendidikan tertiari) terpaksa mengambil pekerjaan dalam kategori separuh mahir atau berkemahiran rendah.
“Kumpulan ini merujuk kepada belia bekerja yang berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.”
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Apa langkah kerajaan nak bantu anak muda?
Menyedari hakikat ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan mereka komited untuk menangani cabaran sosioekonomi belia, terutamanya bagi mereka yang berada di luar Lembah Klang.
Antara strategi utama yang dirangka ialah Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030.
Pelan ini memfokuskan kepada tiga matlamat utama iaitu menjana ekonomi belia, memperkukuh kesejahteraan dan inklusiviti belia serta mempergiat pembangunan mampan
Pelan ini mengandungi 10 strategi serta 24 inisiatif yang digerakkan bersama 76 rakan kolaborasi merentas pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Sasaran Kurangkan Kadar Pengangguran Menjelang 2030
Menerusi pelan ini, kerajaan meletakkan sasaran untuk meredakan kadar pengangguran belia berumur 15–30 tahun daripada 7.3% (pada tahun 2022) kepada 6.5% menjelang tahun 2030.
Malah, kebolehpasaran graduan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) mencatatkan kadar 96.46% pada 2026 sekali gus membuktikan kebolehkerjaan golongan belia di negara kita.
Dalam pada itu purata gaji keseluruhan graduan turut meningkat daripada RM1,911.67 (2023) kepada RM2,079.85 (2025).
Dr Mohammed Taufiq turut menambah bahawa keberkesanan inisiatif ini akan terus dipantau berdasarkan peningkatan kemahiran, kebolehpasaran, dan kadar pendapatan sebenar belia, bukannya sekadar melihat kepada bilangan penyertaan program semata-mata.
“Sejajar dengan cabaran itu, Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 menjadi antara kerangka strategik kerajaan untuk menangani cabaran sosioekonomi belia.
“Ini termasuk belia di luar Lembah Klang, melalui tiga matlamat utama, iaitu menjana ekonomi belia, memperkukuh kesejahteraan dan inklusiviti belia serta mempergiat pembangunan mampan.
“Pelan ini dilaksanakan melalui 10 strategi dan 24 inisiatif, dengan pembabitan 76 rakan kolaborasi merentas kementerian dan agensi.”
Apa pendapat korang tentang isu belia susah nak dapat kerja yang sepadan dengan kelulusan ni?
Sumber berita & Gambar: Berita Harian & Bernama
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





