43 Anggota, Operasi Lima Hari Selamatkan Pendaki Croatia Terjatuh Di Gunung Kinabalu

11 Sep 2026 • 9:45 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

43 Anggota, Operasi Lima Hari Selamatkan Pendaki Croatia Terjatuh Di Gunung Kinabalu

KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Sebanyak 43 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya membawa turun seorang pendaki warga Croatia yang terjatuh ketika mendaki Gunung Kinabalu dalam operasi yang mengambil masa selama lima hari berakhir lewat malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Pisar Aziz berkata mangsa yang dikenali sebagai Mauro Persic, 46, mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan, tulang rusuk kanan, serta luka ringan pada tangan akibat insiden berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 5.10 petang Ahad lepas sebelum pasukan dan jentera bomba tiba di kawasan kejadian pada 5.38 petang.

“Proses membawa turun mangsa dari lokasi kejadian hanya dapat dilakukan secara berperingkat menerusi lima pembahagian zon pasukan bermula pada 7.07 pagi semalam, berikutan terpaksa melalui laluan mencabar sejauh dua hingga tiga kilometer selain cuaca tidak mengizinkan.

“Pasukan SAR juga menempuh keadaan cuaca hujan sepanjang perjalanan sebelum selamat tiba di Platform KM 6.5 pada 3.21 petang bagi meneruskan proses penurunan dari Panalaban ke Timpohon Gate (kaki Gunung Kinabalu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga:

Mohd Pisar berkata pergerakan membawa mangsa menuruni laluan gunung itu dilaksanakan menggunakan kaedah piggyback carry dengan peralatan body harness carrier.

Beliau berkata petugas Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan rawatan perubatan awal kepada mangsa sebaik sahaja tiba di Timpohon Gate pada 7.06 malam.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Ranau pada 7.22 malam menggunakan ambulans KKM dengan diiringi kenderaan MPV PDRM untuk rawatan selanjutnya.

"Komander operasi mengesahkan kesemua pasukan SAR dan mangsa telah selamat tiba di Timpohon Gate sebelum operasi ditamatkan secara rasmi pada 10 malam tadi," katanya.

Pasukan penyelamat itu dibentuk secara gabungan merangkumi anggota JBPM termasuk Pasukan Khas Operasi Taktikal Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOCSAR), malim gunung, porter, serta renjer.

Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan petugas Sabah Park.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved