
SANDAKAN: Jabatan Air Sabah mengesan dan memotong 43 sambungan paip air haram menerusi operasi bersepadu berskala besar yang dilaksanakan di dua kawasan setinggan dekat Batu 3, di sini, pada Selasa.
Dua unit pam air turut disita dan satu tangkapan dibuat dalam operasi sama dimana kesalahan tersebut akan disiasat dibawah Seksyen 49(b), Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.
Pesalah yang disabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM 100,000 dan penjara tidak melebihi tempoh satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Operasi mega berkenaan, yang diketuai Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Penguatkuasa dan Keselamatan Jabatan Air Sabah, ASP/PB Azmie Sabli itu melibatkan 89 anggota daripada 18 agensi penguatkuasaan kerajaan persekutuan dan negeri, berserta petugas media.
Jabatan menegaskan operasi itu antara lain bertujuan untuk membanteras sambungan paip yang menyalahi undang-undang serta mengekang krisis kehilangan air yang tidak berhasil (NRW) yang kritikal di Sandakan.
Operasi itu turut memfokuskan kepada pengesanan, pemotongan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap manipulasi sistem bekalan air.
Operasi sama turut mengesan kawasan sumber air itu yang telah ditutup dengan semak samun dan tertutup, selain terdapat sambungan wayar elektrik haram.
Serentak itu, pihak Sabah Electricity turut mengesan dan memotong 40 sambungan haram wayar elektrik seberat 82 kilogram dalam operasi berkenaan.
Manakala pihak Majlis Perbandaran Sandakan mengeluarkan tiga kompaun kesalahan dan merampas 11 pek rokok dipercayai tidak bercukai semasa pemeriksaan dalam operasi sama di kampung setinggan itu.
Jabatan Air Sabah menegaskan operasi pemantauan ini akan diteruskan di kawasan hotspot lain bagi memastikan bekalan air bersih tidak terjejas untuk pengguna yang sah di sekitar daerah ini.




