Paip utama bocor, 34,000 akaun di empat jajahan Kelantan berdepan gangguan bekalan air

29 Jul 2026 • 10:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Paip utama bocor, 34,000 akaun di empat jajahan Kelantan berdepan gangguan bekalan air
Kira-kira 34,000 akaun pengguna di empat jajahan dijangka berdepan gangguan bekalan air akibat kebocoran paip air utama di Sungai Bagan.Foto AKSB

KOTA BHARU – Kira-kira 34,000 akaun pengguna di empat jajahan dijangka berdepan gangguan bekalan air apabila kebocoran paip air utama di Sungai Bagan menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong, Machang.

Jabatan Korporat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan memaklumkan, kebocoran melibatkan paip air mentah jenis Mild Steel (MS) bersaiz 600 milimeter menyebabkan loji berkenaan tidak dapat beroperasi pada kadar pengeluaran normal.

Menurut kenyataan itu, gangguan bekalan air melibatkan jajahan Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu Selatan dan Kota Bharu Timur.

"Kerja pembaikan akan dimulakan pada jam 9 malam, Khamis dan dijangka mengambil masa antara 24 hingga 36 jam untuk disiapkan.

"Bekalan air dijangka pulih secara berperingkat seawal petang Jumaat atau selewat-lewatnya pada Sabtu," katanya pada Rabu.

Menurut AKSB, pihaknya akan menggerakkan lori tangki air milik syarikat serta lori air kontrak bagi membantu pengguna yang terjejas sepanjang tempoh pembaikan dijalankan.

Katanya, operator air dari beberapa negeri lain turut memberikan komitmen untuk membantu penghantaran lori tangki air ke kawasan terjejas, khususnya ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, penjara dan asrama institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, AKSB memaklumkan pengguna telah dimaklumkan lebih awal menerusi sistem Infoblast oleh AKSB Careline (PINTAS) di talian 15777 dan perkembangan terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi laman sesawang, aplikasi MyAKSB serta platform media sosial rasmi AKSB.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved