MUAR – Tindakan sebahagian pekerja asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di beberapa lokasi dalam kawasan kilang mencetuskan suasana kecoh ketika operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di sini pada Selasa.
Operasi bersepadu yang melibatkan pegawai penguat kuasa dari cawangan Muar, Segamat dan Batu Pahat itu dijalankan antara jam 9 pagi hingga 10 malam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan di beberapa lokasi tumpuan termasuk kilang perabot serta kediaman yang dijadikan penempatan pekerja asing.
Menurutnya, serbuan itu bertujuan mengesan warga asing yang melakukan pelanggaran di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, selain majikan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Ketika operasi dijalankan, suasana menjadi kecoh apabila sebahagian pekerja cuba melarikan diri dan bersembunyi di beberapa lokasi dalam kawasan kilang.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya menutup semua laluan keluar sekali gus menggagalkan cubaan meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua 43 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka terdiri daripada 15 lelaki dewasa warga Bangladesh, seorang lelaki dewasa Pakistan, lapan lelaki dewasa Myanmar, lapan lelaki dewasa Nepal, lima lelaki dewasa China serta tiga wanita dewasa Indonesia.
“Turut ditahan ialah seorang kanak-kanak perempuan Indonesia, seorang kanak-kanak perempuan Bangladesh dan seorang perempuan dewasa Myanmar berusia antara 14 hingga 62 tahun,” jelasnya.
Mohd. Rusdi memberitahu kesemua mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, JIM Johor memberi amaran bahawa operasi seumpama itu akan diteruskan bagi mengekang penyalahgunaan pekerja asing serta memastikan pematuhan undang-undang oleh majikan.
Perubahan yang dibuat:
