Kilang kusyen kereta guna pekerja asing tanpa permit diserbu

LocalCars
13 May 2026 • 9:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kilang kusyen kereta guna pekerja asing tanpa permit diserbu
Antara warga asing yang diperiksa dalam serbuan JIM di sebuah kilang di Seri Kembangan, pada Selasa

PUTRAJAYA - Kegiatan sebuah kilang pengubahsuaian dan pembekal kusyen kereta yang dipercayai menggaji warga asing tanpa permit sah terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Ops Mahir di Seri Kembangan Selangor pada Selasa.

Serbuan itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya kira-kira jam 12.30 tengah hari hasil risikan selama seminggu terhadap premis berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, premis itu dipercayai dimiliki dan diuruskan seorang majikan warga China yang sengaja menggaji warga asing tanpa dokumen dan permit kerja sah.

"Kebanyakan pekerja yang diambil bekerja terdiri daripada rakan senegara warga China," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Lokman berkata, pasukan serbuan melibatkan 17 pegawai pelbagai pangkat telah melakukan pemeriksaan terhadap 24 individu terdiri daripada 21 warga asing dan tiga warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 16 warga asing termasuk majikan warga China dan Myanmar berusia antara 26 hingga 35 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata, tiga Borang 29 saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.

"Kesemua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Tambah beliau, JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan pas di negara ini.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.