
KUALA LUMPUR – Isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir menegaskan suaminya yang lebih dikenali sebagai Leo sangat mementingkan keselamatan bukan sahaja dirinya tetapi orang lain.
Hani Othman, 40, berkata, bagi suaminya, nyawa dan keselamatan sangat utama dan akan berjuang habis-habisan untuk hidup.
“Dia kena cirit-birit ketika pergi ke Everest dulu dan mampu sampai ke puncak, kalau dia hendak ‘summit push’ (gigih mendaki ke puncak). Namun, dia akan hilang tenaga dan berisiko mati ketika turun.
“Jadi dia ‘decide’ (putuskan) untuk tidak teruskan walaupun hendak sangat ke puncak tetapi dia sudah janji dengan ‘family’ (keluarga) untuk pulang dengan selamat. Namun, keadaan sebaliknya ketika trip ke Nepal,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Hani naik video pendek, memaparkan Leo sedang memberi penerangan mengenai langkah keselamatan ketika berselisih dengan haiwan pada ekspedisi pendakian di Phakding, Khumbu dekat Nepal.
Mohd Fakhrul Munir dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki kumpulannya dalam ekspedisi pendakian ke Everest Base Camp (EBC) melalui laluan Tibet, dipercayai terjejas akibat banjir dan tanah runtuh dahsyat ketika berada di lembah di Rasuwa.
Seramai 54 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos itu.
Menurut Hani, 40, suaminya telah beberapa kali hadir dalam mimpinya dan seolah-olah menyatakan hasrat ‘mahu’ pulang.
“Trip kali ini, dia (Mohd Fakhrul Munir) pergi ke Nepal. Dia tidak janji dengan kami hendak pulang dengan selamat kerana trip ini santai. Ia bukan trip mendaki yang bahaya.
“Namun, aku tahu dia hendak balik. Tiga kali dia hadir dalam mimpi aku. Dia hendak balik,” katanya
Hani sebelum ini, dilaporkan berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan anggota kumpulan berkenaan yang masih gagal dihubungi sejak 46 hari lalu.
Sepanjang berada di sana, Hani aktif berkongsi perkembangan usaha mengesan suaminya dan rakyat Malaysia dengan melawat hospital di Nepal bagi proses pengecaman mayat, selain terbabit mengagihkan bantuan kepada mangsa bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
The post 46 hari hilang, Hani mimpi Leo mahu pulang appeared first on Kosmo Online.




