Saya sendiri setiap hari tanya Allah status suami – Isteri Loe

14 Sep 2026 • 9:27 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Saya sendiri setiap hari tanya Allah status suami – Isteri Loe

PETALING JAYA – “Saya sendiri pun setiap hari tanya Allah bagaimana status suami saya.”

Demikian luahan isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe, Hani Othman yang masih menanti khabar mengenai nasib suaminya yang dilaporkan hilang dalam tragedi banjir lumpur dan tanah runtuh di Nepal.

Menerusi Instagram Story pagi ini, Hani memohon orang ramai supaya bersabar dan tidak terus bertanyakan perkembangan mengenai suaminya yang sehingga kini masih belum ditemukan.

“Yang tanya saya macam mana status suami, dah jumpa ke belum…mohon bersabar ya. Saya sendiri pun setiap hari tanya Allah bagaimana status suami saya.. belum dapat jawapan lagi,” katanya.

Hani berkata, dia berharap orang ramai dapat bersabar sebagaimana dirinya yang masih setia menanti sebarang jawapan mengenai keadaan suaminya.

“Saya harap semua orang boleh bersabar seperti mana saya, seorang isteri sedang bersabar menanti jawapan,” katanya.

Menurut Hani, sekiranya suaminya sudah ditemukan, perkembangan berkenaan pastinya akan dilaporkan kepada umum.

“Kalau dah jumpa tu, adalah keluar dalam berita,” jelasnya.

Mohd Fakhrul Munir, 44, dilaporkan hilang selepas menyertai misi pendakian di Nepal dan terputus hubungan susulan bencana banjir serta tanah runtuh yang melanda kawasan Rasuwa pada 26 Ogos lalu.

Hani sebelum ini mengambil keputusan berlepas seorang diri ke Kathmandu pada 28 Ogos bagi mendapatkan perkembangan terkini operasi pencarian suaminya.

Dia juga pernah memaklumkan bahawa pelbagai maklumat dan petunjuk berkaitan keberadaan suaminya telah disalurkan kepada pihak berkuasa Nepal bagi membantu usaha pencarian.

Dalam perkembangan terbaharu, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut dihantar ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang masih hilang. – KOSMO! ONLINE

The post Saya sendiri setiap hari tanya Allah status suami – Isteri Loe appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved