
LAHAD DATU: Sebanyak 83 rumah dan 463 individu diperiksa dalam satu operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sini, pada Khamis.
Komander Esscom, DCP Datuk Victor Sanjos berkata operasi itu bukan sahaja bertujuan penguatkuasaan tetapi juga sebahagian daripada usaha berterusan Esscom mencegah pencerobohan.
“Operasi ini berperanan sebagai jaminan kepada penduduk tempatan mengenai keselamatan mereka dan juga peringatan bahawa sebarang cubaan mengganggu keharmonian akan ditangani dengan tindakan tegas,” katanya.
Menurut Victor, operasi dijalankan dari Kampung Tanjung Labian hingga Kampung Tanjung Batu bermula 1.30 pagi hingga 7 pagi.
Seramai 151 anggota terlibat, terdiri daripada Esscom, Angkatan Tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Daerah Lahad Datu serta Polis Bantuan Felda.
“Sepanjang operasi, 83 rumah dan 463 individu diperiksa, dengan enam ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Kesemua yang ditahan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” kata Victor.
Sambil menghargai kerjasama semua agensi terlibat, beliau berkata operasi seumpama itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa di daerah lain dalam kawasan Esszone bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
Victor turut menyeru orang awam menjadi mata dan telinga Esscom dengan melaporkan sebarang insiden keselamatan di Esszone ke pusat operasi Esscom pada talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.


