47 pelatih Akademi Rel Pahang tamat latihan di China, kini diserap bekerja dengan MRL

23 Oct 2026 • 12:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

47 pelatih Akademi Rel Pahang tamat latihan di China, kini diserap bekerja dengan MRL Image from: 47 pelatih Akademi Rel Pahang tamat latihan di China, kini diserap bekerja dengan MRL liza23/10/2026 - 12:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – Kerajaan Pahang bersedia meneruskan pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja tempatan bagi memastikan anak negeri itu berpeluang mengisi jawatan berkemahiran apabila projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mula beroperasi.

 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu penting bagi memastikan rakyat tempatan bukan sahaja mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur berkenaan, malah turut berpeluang membina kerjaya dalam industri rel.

 

Beliau berkata, seramai 47 pelatih kumpulan pertama Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) bagi sesi 2025/2026 berjaya menamatkan latihan selama setahun di China dan sudah diserap bekerja oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

 

Kejayaan kumpulan perintis itu mencerminkan hasil kerjasama kerajaan negeri, MRL, Universiti College Yayasan Pahang (UCYP) dan Yayasan Pahang dalam menyediakan tenaga kerja tempatan lebih awal bagi memenuhi keperluan industri rel.

 

Latihan di China sediakan tenaga kerja berkemahiran

Menurut Wan Rosdy, program berkenaan bukan sahaja memberikan pengetahuan teori dan kemahiran teknikal kepada pelatih, malah menyediakan pengalaman berharga menerusi latihan di China.

 

“Pendedahan itu penting dalam mempersiapkan tenaga kerja tempatan menghadapi keperluan industri yang semakin berkembang, khususnya apabila ECRL membuka lembaran baharu dalam sektor pengangkutan dan industri rel negara.

 

“Kerajaan negeri turut terbuka untuk meneruskan sokongan pembiayaan bagi kursus lanjutan atau program latihan di lokasi lain sekiranya diperlukan bagi memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan MRL,” katanya.

 

Pendekatan itu membolehkan latihan disesuaikan dengan keperluan industri, sekali gus membantu menyediakan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran bersesuaian untuk menyokong operasi dan penyelenggaraan rangkaian rel berkenaan.

 

Akademi Rel Pahang diperkasa sebagai pusat latihan

Dalam pada itu, Wan Rosdy berharap Akademi Rel Pahang terus berkembang sebagai pusat latihan dan penyelidikan gunaan, khususnya dalam bidang operasi, penyelenggaraan dan keselamatan rel.

 

Menurutnya, pembangunan pusat latihan berkenaan penting bagi menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri, selain membuka lebih banyak ruang kepada anak Pahang untuk memperoleh kemahiran dan membina masa depan dalam sektor berkenaan.

 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan keluarga pelatih atas sokongan mereka, selain mengiktiraf peranan Yayasan Pahang, UCYP University, Akademi Rel Pahang, MRL, China Communications Construction (ECRL), Liuzhou Railway Vocational Technical College serta rakan strategik lain dalam menjayakan program itu.

 

Kerjasama industri turut perkukuh pendidikan

Dalam majlis sama, pertukaran perjanjian kerjasama turut disaksikan bersama CitaGlobal Telecommunication Sdn Bhd, Lembaga Pelabuhan Kuantan dan RHB Islamic Bank Berhad.

 

Majlis itu juga menyaksikan sumbangan RM390,000 daripada Lembaga Pelabuhan Kuantan bagi Program Pensijilan Tahfiz Profesional UCYP University, manakala AmBank Islamic menyumbang RM50,000 kepada Yayasan Tuanku Canselor UCYP untuk keperluan pembelajaran.

 

Wan Rosdy berkata, usaha menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri merupakan antara pendekatan yang mahu diteruskan kerajaan negeri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan memperluas peluang kepada anak tempatan.

 

Usaha itu selaras dengan Aspirasi Pahang 1st, yang antara matlamatnya adalah memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan negeri, termasuk melalui peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved