SINTOK – Pasukan wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila memecahkan rekod kejohanan dalam acara 4x100 meter wanita pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 3 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) dari 15 hingga 17 Ogos lalu.
Quartet pecut UPSI mencatatkan masa 47.67 saat sekali gus mengatasi rekod lama 48.47 saat milik Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus mengangkat maruah universiti sebagai kuasa besar olahraga IPT.
Kecemerlangan kontinjen olahraga UPSI berterusan apabila menamatkan saingan selaku naib juara keseluruhan dengan pungutan 31 pingat yang terdiri daripada 10 emas, 11 perak dan 10 gangsa.
Antara pencapaian membanggakan adalah kejayaan pelari pecut, Danish Iftikar yang menjuarai acara 100 meter lelaki dengan catatan 10.43 saat, manakala dalam acara lompat jauh lelaki, UPSI mendominasi sepenuhnya dengan sapuan pingat emas, perak dan gangsa.
Kejohanan itu turut menjadi pentas pemilihan apabila seramai 20 atlet UPSI disenarai untuk mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) ke Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) ke-10 yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, dari 1 hingga 7 September ini.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff ketika mengulas kejayaan itu berkata pencapaian atlet berkenaan adalah bukti program pembangunan sukan universiti berada di landasan yang tepat.
Menurut beliau, pencapaian 20 atlet UPSI yang terpilih mewakili MASUM ke SIPMA ke-10 adalah satu kebanggaan kerana ia membuktikan universiti memiliki bakat sukan yang diyakini mampu bersaing di pentas lebih besar.
“UPSI sentiasa komited dalam melahirkan atlet pelapis negara melalui sistem latihan yang bersistematik dan sokongan padu universiti.
Beliau turut menyifatkan kejayaan itu sebagai suntikan semangat buat kontinjen UPSI yang bakal menggalas cabaran lebih besar di SIPMA nanti.
“Kejayaan memecah rekod dan penguasaan dalam beberapa acara utama ini membuktikan kemampuan atlet kita bersaing di peringkat tertinggi.
“Kita harap kejayaan di Sintok ini menjadi pembakar semangat buat kontinjen UPSI yang akan bertanding di SIPMA nanti. Universiti percaya mereka akan terus berjuang membawa pulang kejayaan dan mengharumkan nama UPSI serta Malaysia,” katanya.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)
