
BEAUFORT: Kawasan seluas 5,000 ekar di kawasan Kampung Indomadi hingga Kampung Sungai Padas menjadi antara cadangan pewartaan untuk dijadikan sebagai jelapang padi daerah ini.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata kawasan itu mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi berskala besar melibatkan pertanian moden.
Pada masa sama katanya, usaha berkenaan juga dapat membantu meningkatkan pengeluaran beras dan memperkukuhkan keterjaminan makanan di Sabah.
Katanya, sekiranya perancangan itu direalisasikan, pembangunan kawasan berkenaan bukan saja memberi manfaat kepada sektor pertanian, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta merancakkan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik.
“Kawasan ini memang berpotensi untuk dijadikan sebagai antara ‘Jelapang Padi’ di Sabah kerana selain kedudukannya yang strategik, kawasan ini dulunya juga bekas sawah padi yang tidak lagi diusahakan.
“Yang penting, segala kemudahan seperti pengairan dan keperluan utama lainnya disediakan untuk memastikan aspirasi ini tercapai,” katanya semasa lawatan kerja di kawasan itu yang turut dihadiri Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun di sini pada Rabu.
Terdahulu, Ruslan yang juga wakil rakyat Lumadan turut meninjau kawasan seluas 500 ekar di Kampung Indomadi yang akan dicadangkan untuk diwartakan sebagai kawasan Rumbia bagi memelihara sumber rumbia serta mengembangkan industri sagu dan produk hiliran berasaskan tanaman itu di daerah ini.
Pada tinjauan yang turut disertai wakil Jabatan Pertanian dan Jabatan Tanah dan Ukur Daerah Beaufort itu, Ruslan mendapati kawasan berkenaan mempunyai lebih 10,000 pokok rumbia matang yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat pengeluaran sagu serta pelbagai produk hiliran yang mempunyai nilai ekonomi.
Beliau berkata pewartaan kawasan itu penting bagi memastikan khazanah rumbia terus dipelihara daripada ancaman pembangunan yang boleh menyebabkan sumber berkenaan semakin berkurangan.
“Saya juga ingin mencadangkan mana-mana kawasan yang masih kosong di tanah ini, ditanam semula dengan pokok rumbia sekali gus berpotensi dibangunkan sebagai destinasi agropelancongan, termasuk memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri proses penghasilan sagu dan produk hiliran berasaskan rumbia.
“Justeru itu, saya yakin dengan kerjasama erat antara Pejabat Daerah Beaufort, jabatan-jabatan berkaitan, pemimpin kampung dan masyarakat setempat, usaha ini mampu direalisasikan demi memelihara khazanah rumbia, memperkasa sektor pertanian serta membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat Beaufort dan Dun Lumadan,” katanya.


