SSBPS di Kemabong antara kawasan padi paling produktif

LocalFood
27 Aug 2026 • 4:54 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

SSBPS di Kemabong antara kawasan padi paling produktif

Tenom: Sawah Satelit Benih Padi Sah (SSBPS) seluas 67 hektar di Kampung Kalibatang Baru, Kemabong muncul antara kawasan penanaman padi paling produktif di Sabah apabila varieti padi TR8 yang diusahakan mampu mencatat hasil sehingga 10 tan sehektar.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata pencapaian itu berdasarkan rekod pengeluaran sejak tiga tahun kebelakangan sekali gus membuktikan potensi kawasan berkenaan dalam meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi negeri.

Katanya, potensi pengeluaran tinggi varieti TR8 turut dibuktikan di beberapa kawasan sekitar termasuk Kampung Kalibatang Lama, Kalibatang Baru, Kuala Tamani dan Marais.

“Sejak tiga tahun kebelakangan ini, hasil di sini boleh mencapai 10 tan sehektar. Ini membuktikan potensi padi TR8 di kawasan berkenaan.

“Daripada sampel yang saya ambil, setiap tangkai secara purata mengeluarkan antara 185 hingga 195 biji padi dan berdasarkan pengiraan, potensi hasilnya sekitar lapan hingga sembilan tan sehektar. Ini merupakan antara pencapaian tertinggi di Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Program Penuaian di Sawah Satelit Benih Padi Sah (SSBPS), Kalibatang Baru, Kemabong, di sini pada selasa.

Jamawi berkata pencapaian berkenaan amat memberangsangkan berbanding hasil tertinggi sekitar lima tan sehektar di Jelapang Padi Kota Belud dan 4.5 tan sehektar di kawasan Trusan Sapi.

Menurutnya, kejayaan itu menunjukkan kawasan pedalaman Sabah mempunyai potensi besar untuk meningkatkan produktiviti padi menerusi kaedah pengurusan tanaman dan amalan pertanian yang baik.

Sehubungan itu, beliau mahu Kalibatang Baru dan kawasan sekitarnya dijadikan lokasi rujukan serta pembelajaran kepada kelompok pesawah lain di Sabah yang mahu meningkatkan hasil tanaman sehingga lapan tan sehektar atau lebih.

Katanya, pesawah Sabah tidak semestinya perlu mendapatkan pendedahan sehingga ke kawasan penanaman padi utama di Semenanjung termasuk Sekinchan, Perak atau Kedah kerana keupayaan menghasilkan sehingga 10 tan sehektar sudah dibuktikan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Jamawi berkata kerajaan negeri terus memperkukuh mekanisasi pertanian di kawasan berkenaan dengan meluluskan dua unit traktor, sebuah jentera membajak dan sebuah jentera menuai untuk kegunaan pesawah tahun ini.

Katanya, bantuan berkenaan akan ditambah tahun hadapan menerusi penyediaan mesin menanam serta mesin penuaian bersaiz kecil khusus bagi kawasan yang sukar dimasuki jentera besar.

Selain itu, enam unit mesin penyembur kabus bermotor turut dirancang untuk disalurkan bagi membantu kerja penyemburan baja dan pengurusan tanaman.

Sementara itu, Ketua Blok SSBPS, Roy Buing, berkata pesawah di kawasan berkenaan menghargai bantuan jentera yang disalurkan kerajaan kerana dapat memudahkan kerja pengurusan sawah.

“Kami sebagai petani di sini sangat berterima kasih kepada Datuk Jamawi atas peruntukan jentera untuk kegunaan di kawasan ini.

“Kami berharap lebih banyak bantuan dapat diberikan selepas ini bagi memudahkan kerja petani dan seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran padi di kawasan ini,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved