5,234 anggota ATM siap siaga hadapi banjir

11 Nov 2026 • 1:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 5,234 anggota ATM siap siaga hadapi banjir

KUALA LUMPUR – Seramai 5,234 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kekuatan itu membabitkan 314 pegawai dan 4,920 anggota lain-lain pangkat.

Beliau berkata, ATM turut menyediakan 589 aset mobiliti darat dan 344 aset mobiliti air bagi membantu operasi menyelamat serta pengurusan bencana sekiranya berlaku banjir.

Menurutnya, aset mobiliti udara juga sentiasa disediakan sekiranya terdapat keperluan sepanjang tempoh berkenaan.

“Angkatan Tentera memang dalam keadaan bersedia. Dalam keadaan kita berhadapan dengan monsun pada kali ini, seperti biasa, kita akan memainkan peranan memastikan apabila banjir berlaku, ia dapat ditangani dengan baik menerusi kerjasama pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Brigadier General Kehormat, di Kementerian Pertahanan (Mindef) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, ATM mengamalkan prinsip First Troop on the Scene atau pasukan pertama berada di lokasi apabila berlaku kejadian banjir.

Katanya, pendekatan itu dilaksanakan seperti kebiasaan setiap tahun bagi memastikan ATM dapat memainkan peranan membantu menangani bencana berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post 5,234 anggota ATM siap siaga hadapi banjir appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved