Bomba Selangor beku cuti 1,603 anggota, siap siaga hadapi banjir

6 Nov 2026 • 4:50 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Bomba Selangor beku cuti 1,603 anggota, siap siaga hadapi banjir

KUALA SELANGOR, 6 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor membekukan cuti 1,603 pegawai dan anggota bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) bermula bulan ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata langkah awal itu turut mengambil kira kemungkinan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku hujung minggu ini.

“Bermulanya peralihan MTL ini, kita telah mengeluarkan surat arahan kepada semua balai agar mengawal cuti dan tidak diberikan seperti biasa. Kita hanya berikan kepada cuti kecemasan.

“Buat masa ini kita ada kekuatan anggota 1,603 termasuk pasukan bomba bantuan dan pegawai sepenuh masa. Semua anggota akan bertugas dan berada dalam keadaan siap sedia,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menghadiri taklimat ringkas dan mengiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ke lokasi kolam tadahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Puncak Alam di sini, hari ini.

Image from: Bomba Selangor beku cuti 1,603 anggota, siap siaga hadapi banjir
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar. Foto SOFIA NASIR/MEDIASELANGOR

Dalam pada itu, Ashrul Riezal berkata JBPM Selangor telah menjalankan pemeriksaan dan pengujian terhadap semua aset serta peralatan bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan ketika kecemasan.

Menurutnya, pemantauan di semua lokasi titik panas banjir yang dikenal pasti turut dipertingkatkan, selain memperkukuh kerjasama dengan pasukan bomba sukarela setempat yang melibatkan 45 pasukan di seluruh negeri.

“Kita juga telah membuat kolaborasi dan mesyuarat bersama pasukan bomba sukarela setempat, dimana kita mempunyai seramai 1,251 anggota pasukan bomba sukarela berdaftar iaitu membabitkan 45 pasukan.

“Mereka bersiap sedia untuk bantu. Kadang-kadang kita tidak minta bantuan lagi tetapi mereka sudah respon untuk bantu lokaliti,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam sentiasa berhati-hati, merancang perjalanan dan tidak meredah banjir secara melulu bagi mengelakkan risiko keselamatan dan kejadian tidak diingini.

Katanya, masyarakat juga perlu mematuhi arahan lanjut daripada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, khususnya ketika berdepan situasi banjir.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan fenomena air pasang besar dengan paras laut dijangka mencecah 5.2 meter diramal berlaku di Pelabuhan Klang bermula 7 hingga 11 November ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan paras tertinggi dijangka direkodkan pada jam 5.02 pagi 8 November (Ahad), sekali gus berada dalam kategori amaran.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved