
KUALA LUMPUR - Lima Ahli Parlimen PKR melahirkan rasa kecewa susulan sekatan untuk akses ke portal peruntukan khas, MyKHAS bagi kawasan Parlimen Ampang yang diwakili Rodziah Ismail.
Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka mendakwa Rodziah kini menjadi wakil rakyat ketiga daripada gabungan kerajaan yang dinafikan hak untuk menguruskan dana awam diperuntukkan bagi pembangunan kawasan masing-masing.
“Sekali lagi, penyalahgunaan kuasa yang serius ini menunjukkan bagaimana Kerajaan Madani semakin mengaburkan sempadan antara parti dan negara; serta antara demokrasi dengan autokrasi,” kata mereka.
Kenyataan itu ditandatangani Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.
Kelima-lima mereka turut mempersoalkan kewajaran kuasa pentadbiran tempatan dipindahkan daripada wakil rakyat yang dipilih melalui mandat pengundi.
Sebelum ini, Rodziah dilaporkan memaklumkan, pusat khidmatnya tidak lagi mempunyai akses kepada portal MyKHAS, iaitu platform yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan Parlimen.
Sekatan sama, menurut mereka, turut dikenakan ke atas Chean Chung dan Wong Chen, yang kedua-duanya pernah dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Dalam kenyataan itu, kelima-lima Ahli Parlimen berkenaan menegaskan, peruntukan kepada kawasan Parlimen tidak seharusnya dijadikan alat tekanan politik atau dianggap sebagai ihsan peribadi daripada pihak kepimpinan.
Mereka turut mempersoalkan pelantikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, sebagai penyelaras bagi kawasan Parlimen Ampang.
Menurut mereka, pelantikan itu menimbulkan persoalan sama ada tugas berkenaan benar-benar termasuk dalam bidang kuasa serta kapasiti rasmi jawatan berkenaan.
“Kami menuntut Perdana Menteri menjelaskan peruntukan undang-undang, peraturan atau dasar yang digunakan untuk menyekat akses MyKHAS bagi ketiga-tiga Ahli Parlimen kerajaan yang terbabit,” kata mereka.
Mereka turut menegaskan, siasatan dan tindakan sewajarnya perlu dijalankan mengikut undang-undang, sekiranya seseorang Ahli Parlimen didapati melakukan kesalahan.
Pada masa sama, sebarang pelanggaran tatakelakuan parti, menurut mereka, wajar dikendalikan melalui Lembaga Disiplin tanpa menjadikan dana awam sebagai senjata politik.
Mengakhiri kenyataan, kelima-lima wakil rakyat itu menegaskan bahawa perjuangan mereka bukan untuk mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya mempertahankan integriti institusi dan prinsip demokrasi.
“Reformasi bukan bermaksud mempolitikkan dana awam dan menggantikan wakil rakyat yang dipilih dengan proksi ditentukan.
“Tuntutan ini bukan untuk mendapatkan layanan istimewa, tetapi untuk memastikan satu prinsip asas dihormati iaitu mandat rakyat,” kata mereka. - Getaran, 8 Ogos 2026





