
Dianggarkan terdapat lebih 5,000 syarikat penerbangan atau airlines yang wujud di dunia ini. Syarikat penerbangan lazimnya dikaitkan dengan negara yang mengendalikannya, justeru ia berpotensi menjadi impresi pertama bagi rakyat sesebuah negara sebelum orang asing tiba ke negara terbabit.
Syarikat-syarikat penerbangan diukur prestasinya dalam pelbagai aspek oleh banyak pihak pemantau antaranya kru kabin terbaik, kualiti produk dan perkhidmatan, keselamatan serta ketepatan masa. Pematuhan terhadap masa menggambarkan tahap disiplin sesebuah syarikat penerbangan.
Justeru, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima syarikat penerbangan paling menepati masa atau ‘on time’ seperti dilaporkan badan Cirium.
1. Aeromexico – 90.02 peratus

Aeromexico ialah syarikat penerbangan nasional utama bagi negara Mexico yang berpusat di Mexico City. Ia mengendalikan penerbangan domestik dan antarabangsa ke rantau Amerika, Eropah dan Asia serta merupakan salah satu anggota pengasas perikatan syarikat penerbangan global SkyTeam.
Aeromexico sangat tepati masa. Syarikat penerbangan ini dinobatkan sebagai syarikat penerbangan global paling tepat masa di dunia untuk dua tahun berturut-turut bagi tahun 2024 dan 2025 oleh Cirium On-Time Performance Review dengan kadar ketepatan masa pada 2025 sebanyak 90.02 peratus daripada hampir 190,000 penerbangan merentasi 23 negara dengan tiba 15 minit daripada jadual asal.
Prestasi tersebut mencerminkan ketinggian disiplin Aeromexico dalam operasi dan komitmen harian yang dipegang oleh kru penerbangan, pasukan lapangan terbang dan pasukan penyelenggaraan dalam memastikan penumpang tiba tepat masa dan selamat ke destinasi yang dituju.
2. Saudia – 86.53 peratus

Saudia (dahulu dikenali sebagai Saudi Arabian Airlines) ialah syarikat penerbangan nasional bagi negara Arab Saudi. Syarikat ini mula beroperasi pada tahun 1945 dan mempunyai pusat utama di Jeddah. Saudia aktif menyediakan penerbangan sewa khas serta perkhidmatan logistik penting untuk membawa jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia, termasuk kerjasama rasmi bersama Tabung Haji bagi jemaah Malaysia sebagaimana yang dimeterai kedua-dua pihak pada Februari 2025.
Saudia mencatatkan 86.53 peratus kadar tepat masa daripada 202,864 penerbangan sekali gus menunjukkan contoh terbaik dalam dunia Islam.
3. SAS – 86.09 peratus

SAS Airlines (Sistem Penerbangan Scandinavian) ialah syarikat penerbangan rasmi gabungan tiga negara Eropah Utara iaitu Denmark, Norway dan Sweden. Ditubuhkan pada tahun 1946, ia berpusat utama di Copenhagen, Oslo, dan Stockholm serta kini menganggotai gabungan syarikat penerbangan SkyTeam.
SAS antara yang cukup menepati masa. Data daripada syarikat analitik penerbangan Cirium menobatkan SAS sebagai syarikat penerbangan paling tepat masa di Eropah dengan kadar ketepatan masa 86.09 daripada 249,674 penerbangan. Bagi bulan Julai 2026 juga, ia menunjukkan peratus tinggi walaupun berdepan kesesakan musim puncak pada musim panas.
4. Azul – 85.18 peratus
AZUL ialah syarikat penerbangan utama Brazil yang berpusat di Sao Paulo. Ditubuhkan pada tahun 2008 oleh David Neeleman (pengasas bersama JetBlue), syarikat ini terkenal sebagai syarikat penerbangan terbesar di Brazil mengikut bilangan bandar dan destinasi perkhidmatannya meliputi lebih 130 destinasi domestik Brazil selain Amerika Syarikat dan Eropah (seperti Portugal).
Ia mencatatkan kadar ketepatan masa 85.18 peratus daripada 304,625 penerbangan.
5- Qatar Airways – 84.42 peratus
Syarikat penerbangan Qatar ini memang dikenali dengan reputasi hebat bahkan sering diiktiraf kerana kecekapan, sehingga diiktiraf ‘World’s Best Airline’ oleh Skytrax kerana kualiti perkhidmatan kabin yang mewah, makanan yang enak serta pengalaman transit yang selesa. Dari segi ketepatan masa, ia masih cemerlang dengan mencatatkan 84.42 peratus daripada 198,303 penerbangan.
Selain itu, sekadar makluman dalam kalangan negara Asia Pasifik, Philippine Airlines (PAL) dikenal pasti paling tepat masa pada kadar 83.12 peratus.
The post 5 ‘airline’ di dunia paling tepati masa, No.2 rakan Malaysia appeared first on Kosmo Digital.






