
Penduduk dunia dianggarkan 8.1 bilion, manakala daripada angka tersebut, antara 5.3 hingga 5.5 bilion dikatakan dalam usia pekerjaan.
Sektor perkhidmatan merupakan bahagian terbesar dan mendominasi pekerjaan global. Sektor ini merangkumi lebih 70 peratus pekerjaan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah.
Ia termasuk bidang hospitaliti, peruncitan, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pemborong, teknologi maklumat dan pendidikan.
Di Malaysia pula, sektor perkhidmatan merangkumi lebih 60 peratus pekerja aktif.
Sektor kedua paling ramai pekerja adalah pengilangan, binaan dan perlombongan. Sektor ini menggaji sehingga 60 peratus tenaga buruh, bergantung kepada tahap kemajuan sesebuah negara.
Bidang terakhir yang mempunyai jumlah pekerja terbesar adalah pertanian merangkumi penanaman, perikanan dan perhutanan dan kebanyakannya melibatkan rakyat negara-negara kurang membangun khususnya di benua Afrika serta rantau Asia Selatan.
Itulah ringkasan pembahagian sektor pekerjaan global di mana negara-negara kurang membangun masih ‘terkongkong’ dalam bidang pertanian dan pengeluaran makanan.
Namun demikian, kemajuan pesat dan evolusi dalam kecerdasan buatan (AI), robotik serta automasi menyaksikan banyak pekerjaan sedia ada semakin terhakis.
Unjuran Forum Ekonomi Dunia menyebut antara tahun 2026 hingga tahun 2030, kira-kira 92 juta pekerjaan akan diambil alih oleh kepintaran buatan (AI), bermakna akan ada 92 juta orang yang hilang kerja, lantas, pada abad akan datang, situasi peluang pekerjaan global agaknya bagaimana.
Ironinya, AI tidak pantas mengambil alih pekerjaan di negara-negara kurang membangun dengan bidang pertanian dan perikanan terus menjadi teras ekonomi serantau.
Sebaliknya, negara-negara maju dan pesat membangun termasuk beberapa kuasa ekonomi a Asia adalah yang pertama merasai kesan atau mudaratnya.
Sektor paling terkesan seperti korporat, teknologi tinggi dan pembuatan menyaksikan syarikat-syarikat gergasi mengecilkan bilangan pekerja kerana diganti dengan automasi.
Trend baharu melihat mereka cenderung mengekalkan pekerja lama yang berpengalaman dan digandingkan bersama teknologi AI.
Mereka diramal kurang mengambil pekerja baru tanpa pengalaman yang perlu latihan bagi menjimatkan kos dan mengoptimumkan keuntungan serta mengekalkan daya saing.
‘Survival’ sektor industri dan korporat sangatlah sengit disebabkan semakin majunya teknologi AI, semakin kurang pekerja yang perlu digaji dan melakukan sebaliknya bererti ketinggalan.
Teknologi masa kini bukan lagi membantu memudahkan hidup serta pekerjaan manusia.
Revolusi AI dan industri akan datang sebaliknya menguasai manusia. Dalam erti kata lain, ia mencorakkan pekerjaan masa hadapan ini adalah ironi terbesar dalam semua ironi.
The post Automasi kawan atau lawan? appeared first on Kosmo Digital.






