
5 Barang Rumah Didakwa Bawa Risiko Kanser
Bercakap soal kesihatan, umum diketahui bahawa kanser sering menjadi perhatian kerana ia antara penyebab kematian utama di seluruh dunia.
Penyakit ini bukanlah sesuatu yang baru, dan sehingga kini, pelbagai kajian masih dijalankan untuk memahami punca dan cara pencegahannya.
Tanpa kita sedari, terdapat beberapa barangan rumah yang digunakan setiap hari didakwa boleh meningkatkan risiko kanser. Menurut TOI, berikut ialah lima jenis barangan rumah yang dikaitkan dengan risiko tersebut:
1. Minuman diet & pemanis tiruan
Salah satu bahan harian yang sering dibincangkan ialah aspartam. Ia adalah pemanis tiruan rendah kalori yang terdapat dalam minuman soda diet, gula-gula getah, yogurt, dan banyak makanan rendah gula.
Pada Julai 2023, International Agency for Research on Cancer (IARC), bahagian penyelidikan kanser di WHO, menyatakan aspartam sebagai “mungkin boleh menyebabkan kanser pada manusia”. Ini berdasarkan bukti terhad daripada kajian pada manusia dan haiwan, lapor TOI.
Maksudnya, ada beberapa bukti yang menunjukkan kemungkinan hubungan dengan kanser, terutamanya kanser hati. Namun, jelas TOI, ia tidak bermakna pengambilan aspartam secara normal akan menyebabkan kanser secara automatik.
2. Periuk & kuali anti-lekat serta bahan kimia PFAS
Banyak periuk dan kuali anti-lekat mengandungi bahan kimia dipanggil PFAS (per- dan polyfluoroalkyl substances).
Apabila permukaan ini rosak atau terlalu panas, sejumlah kecil PFAS boleh dilepaskan. PFAS ini sangat sukar terurai dan telah ditemui pada tahap rendah dalam darah kebanyakan orang.
Kajian menunjukkan orang yang tinggal dekat tempat pengeluaran PFAS atau terdedah banyak boleh berisiko mendapat beberapa masalah kesihatan, termasuk sesetengah jenis kanser.
Tapi, jelas TOI, kaitan langsung dari penggunaan periuk dan kuali biasa di rumah masih belum terbukti dengan jelas.
3. Bahan kalis api dalam perabot & tilam
Bahan kimia kalis api ditambah ke dalam busa perabot dan tilam untuk memenuhi standard keselamatan kebakaran.
Sesetengah daripada bahan ini mengandungi volatil organic compounds (VOCs) dan bahan kimia tahan lama lain yang boleh dilepaskan ke udara rumah.
Beberapa kajian menunjukkan bahawa bahan kalis api tertentu boleh mengganggu sistem hormon, mekanisme yang diketahui terlibat dalam perkembangan kanser.
Walau bagaimanapun, bukti yang mengaitkan pendedahan rumah biasa dengan risiko kanser masih terhad.
4. Produk pembersihan rumah
Produk pembersihan rumah, seperti detergen dan pewangi udara, boleh mengeluarkan bahan kimia berbahaya yang dikenali sebagai VOC, termasuk benzena dan formaldehid. Kajian menunjukkan bahan kimia ini boleh meningkatkan risiko kanser.
Sebagai contoh, satu kajian pada November 2022 yang diterbitkan dalam jurnal Indoor Air mendapati aktiviti pembersihan rutin boleh membuat orang terdedah kepada tahap bahan kimia ini yang tinggi.
Kajian lain pula menunjukkan pendedahan jangka panjang kepada VOC dikaitkan dengan kanser payudara, ovari, kulit dan rahim, lapor TOI.
5. Produk penjagaan diri
Banyak produk kosmetik dan penjagaan diri mengandungi bahan kimia seperti paraben, formaldehid dan pewarna tar arang.
Menurut American Cancer Society, masih sedikit data mengenai kesan jangka panjang bahan ini terhadap kanser, tetapi ada bahan yang membimbangkan.
Contohnya, formaldehid yang boleh menyebabkan kanser dihasilkan semasa rawatan pelurusan atau pelenturan rambut apabila dipanaskan.
Kajian dari US National Institutes of Health pula menunjukkan, wanita yang menggunakan produk sebegini lebih daripada empat kali setahun berisiko hampir dua kali ganda menghidap kanser rahim berbanding yang tidak menggunakannya.
BACA: Ramai Buat, 5 Tabiat Buruk Ni Sebenarnya Boleh ‘Rosakkan’ Otak
Sumber: TOI
The post 5 Barang Rumah Didakwa Bawa Risiko Kanser appeared first on Siakap Keli.



