5 Mangsa Banjir Kilat Pertak Ditemukan Maut, 3 Masih Hilang

10 Nov 2026 • 2:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

5 Mangsa Banjir Kilat Pertak Ditemukan Maut, 3 Masih Hilang

HULU SELANGOR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Sungai Luit, Kampung Pertak, dekat Kuala Kubu Bharu, menemukan empat lagi mayat pagi ini.

Keempat-empat mangsa ditemukan di dua lokasi berasingan di hilir sungai, iaitu berhampiran Jambatan Senget dan sebuah jambatan gantung di kawasan berkenaan.

Tiga mayat ditemukan terperangkap di tebing sungai berhampiran Jambatan Senget, kira-kira 950 meter dari lokasi kejadian, pada jam 9.20 pagi.

Mayat seorang lagi mangsa pula ditemukan pada jam 10.20 pagi berhampiran jambatan gantung, kira-kira 50 meter dari Jambatan Senget dan sekitar satu kilometer dari lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata kesemua mayat dibawa ke pos kawalan hadapan di Kampung Pertak selepas operasi membawa keluar mangsa selesai.

“Ketiga-tiga mangsa ditemukan terperangkap di kawasan berhampiran Jambatan Senget, berdekatan tapak perkhemahan Sungai Luit, kira-kira jam 9.20 pagi.

“Seorang lagi mangsa ditemukan di kawasan berhampiran pada jam 10.20 pagi, kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Identiti keempat-empat mangsa yang ditemukan itu masih belum dikenal pasti.

Terdahulu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditemukan meninggal dunia berhampiran Jambatan Pertak kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang ditemukan setakat ini meningkat kepada lima orang, manakala tiga lagi masih belum ditemukan.

Mangsa yang masih hilang membabitkan seorang warga Yaman, empat warga India, seorang warga Nepal, seorang warga Sri Lanka dan seorang lelaki tempatan.

Dalam kejadian petang Isnin lalu, lapan individu dihanyutkan arus deras susulan peningkatan paras air secara mendadak di beberapa lokasi sepanjang Sungai Pertak.

Kejadian itu turut menyebabkan beberapa kumpulan pengunjung terkandas di Lata Jebus, Kem Sungai Luit dan Gunung Rajah.

Operasi SAR masih diteruskan JBPM dengan bantuan agensi penyelamat lain bagi mengesan baki mangsa yang belum ditemukan. - Getaran, 10 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved