5 momen terindah anak seni, Tun Dr. Hasmah

EntertainmentMusic
3 Oct 2026 • 10:50 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 5 momen terindah anak seni, Tun Dr. Hasmah

DI sebalik sosok genius, antara perintis wanita Melayu terawal bergelar doktor perubatan di Malaysia, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali juga sebenarnya miliki jalur ‘keseniman’ yang cukup tinggi.

Minat mendalam terhadap muzik, khususnya biola, menjadikan Allahyarham bukan sekadar seorang tokoh yang mengagumi seni dari jauh, sebaliknya turut turun ke pentas dan mempersembahkan sendiri alunan muzik di hadapan khalayak.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham beberapa kali mencipta momen istimewa bersama penggiat seni tanah air, termasuk mengiringi penyanyi terkenal, membuat persembahan solo dan menjadi sebahagian daripada acara amal.

HibGlam minggu ini menyenaraikan antara lima persembahan seni Allahyarham yang pernah mencuri perhatian umum sepanjang hayatnya.

Image from: 5 momen terindah anak seni, Tun Dr. Hasmah

Konsert Nota Percaya

ALLAHYARHAM Tun Dr. Siti Hasmah pernah muncul bersama penyanyi Bella Astillah menerusi konsert amal Nota Percaya di Kuala Lumpur pada Ogos 2025.
Bella menerima jemputan berkenaan menerusi ibunya dan tidak menyangka impian untuk berkongsi pentas dengan tokoh negara itu akhirnya terlaksana.

Bagi Bella, peluang membuat persembahan bersama Allahyarham menerusi lagu Bisikan Hati tidak akan dilupakan, malah disifatkan seperti mimpi yang akhirnya menjadi kenyataan.

Image from: 5 momen terindah anak seni, Tun Dr. Hasmah

Konsert Duo Lageda

PENTAS Istana Budaya menjadi saksi kemunculan istimewa Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah menerusi Konsert Duo Lagenda yang menampilkan dua legenda muzik tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M. Nasir pada 2018.

Allahyarham menggesek biola secara solo menerusi lagu Fatwa Pujangga, sebelum mengiringi Jamal dan M. Nasir dalam persembahan Engkau Laksana Bulan dan Gubahanku. Persembahan sekitar 20 minit itu turut didedikasikan kepada pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Image from: 5 momen terindah anak seni, Tun Dr. Hasmah

Majlis Makan Malam Amal Tabung Pahlawan 2019

RASA cinta Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah terhadap biola turut diterjemahkan dalam sebuah acara amal menerusi persembahan khas pada Majlis Makan Malam Amal Tabung Pahlawan 2019.

Allahyarham mempersembahkan beberapa buah lagu menerusi gesekan biola dengan iringan dua penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Ramli Sarip.

Judul lagu iringan gesekan biola yang disampaikan Siti Hasmah dan dinyanyikan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza ialah Selendang Sutera, Pahlawanku, In Our Tears serta Coming Home. Persembahan tersebut antara yang paling diingati ramai kerana menyatukan tiga figura hebat di pentas amal tersebut.

Sound of Malaysia

ANTARA momen yang paling diingati dalam dunia muzik tanah air tentunya ketika Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah mengiringi nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Gubahanku.

Persembahan tersebut berlangsung dalam Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) – Sounds of Malaysia di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia Malaysia (MMU) pada Ogos 2025. Lebih istimewa, biola yang dimainkan Allahyarham ketika itu merupakan hadiah daripada Siti sendiri.
Siti turut mengakui sebak ketika sesi latihan kerana berpeluang menyanyi dengan iringan alat muzik yang pernah dihadiahkannya kepada Allahyarhamah.

Image from: 5 momen terindah anak seni, Tun Dr. Hasmah

Muzikal Tun Mahathir

BUKAN mengiringi sebaliknya kisah hidup Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah juga pernah dipentaskan sekitar tahun 2010 dalam teater muzikal Tun Mahathir.

Dalam musim pertama muzikal yang dipentaskan pada 2010, watak Tun Siti Hasmah ketika muda dibawakan oleh pelakon terkenal, Erra Fazira.

Untuk musim kedua yang dipentaskan pada Januari 2011 pula, watak berkenaan dilakonkan penyanyi dan pelakon, Misha Omar.

Kisah lucu cara Mahathir memikat Hasmah di King Edward VIII College of Medicine, Singapura juga antara yang dipaparkan, terutama momen yang memperlihatkan kesungguhan Mahathir yang sanggup mengenepikan sifat pemalu dengan wanita apabila tetap menggembirakan Hasmah dengan membuat bot sendiri.

 

The post 5 momen terindah anak seni, Tun Dr. Hasmah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved