5 Pemimpin Tertinggi UMNO Bersidang Sebelum Mesyuarat MKT

Politics
30 Sep 2022 • 4:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pemimpin 'Top 5' UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Ismail Sabri, Mohamed Khaled serta Mahdzir Khalid, sedang bermesyuarat - Gambar Facebook Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Lima pemimpin tertinggi UMNO, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan petang ini, sebelum disusuli mesyuarat penuh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dijadual pada jam 8 malam.

Foto Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, bersama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, selain dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin dikongsi di media sosial .

Biro Politik UMNO, termasuk pemimpin tertinggi dan pengerusi perhubungan negeri juga, dijadual bersidang sebelum mesyuarat MKT malam ini.

Intipati perbincangan itu dipercayai memfokuskan mengenai garis masa terperinci bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan tahun ini, selain menyentuh persiapan parti menjelang pilihan raya.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata, lima pemimpin tertinggi parti itu dijangka membincangkan tarikh pemilihan akan datang.

Tambahnya, masih ada ruang untuk mengadakan pilihan raya tahun ini dan perbincangan antara lima pemimpin itu, boleh diadakan secepat mungkin atau sebelum pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober.

Ismail Sabri mempercepatkan tarikh pembentangan Bajet yang mengikut perancangan awal akan dibuat pada 28 Oktober, seterusnya mencetuskan spekulasi bahawa Parlimen mungkin dibubarkan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Ini diikuti gesaan Ahmad Zahid bahawa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan ahli parti komponen ‘sanggup meredah banjir untuk berkempen’.

Bagaimanapun, kenyataan itu menerima kritikan hebat daripada pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia kerana langkah mengadakan PRU-15 pada musim tengkujuh itu berisiko mengundang bahaya kepada rakyat. – The Vibes, 30 September 2022