
HIDAYAH itu rahsia Allah, hadir tanpa diduga serta mampu mengubah arah tuju kehidupan seseorang dalam sekelip mata.
Bagi sesetengah figura ternama tanah air, titik perubahan hidup hadir sewaktu mereka berada di puncak kerjaya.
Keputusan berani untuk memperlahankan kerjaya, meninggalkan pentas nyanyian mahupun set penggambaran bukanlah satu langkah yang mudah, namun disahut demi sebuah penghijrahan yang hakiki.
Berikut merupakan antara figura popular tempatan yang memilih untuk beralih jalur, meninggalkan gemerlap dunia seni demi mengejar cahaya hidayah dan istiqamah di jalan-Nya.

Ali XPDC
SUATU ketika dahulu, Ali merupakan penyanyi rock terkenal Malaysia yang menjadi vokalis kumpulan XPDC sejak tahun 1997 menggantikan Mael.
Namun, pemilik nama lengkap Mohd. Ali Ismail itu bertekad melakukan penghijrahan ke arah yang lebih baik untuk mengenali agama.
Penghijrahannya didorong kerisauan yang semakin menebal terhadap anak dan isteri yang kerap ditinggalkan ekoran terlalu sibuk dengan persembahan di serata tempat.

Izam EYE
SELEPAS bergiat aktif dalam dunia seni bersama kumpulan EYE, Izam meninggalkan segalanya pada tahun 1999.
Izam atau nama sebenarnya Mohd. Izam Arshad menjelaskan kehilangannya selama 13 tahun daripada industri muzik sebelum ini kerana ingin mendalami ilmu agama.
Sepanjang tempoh tersebut, dia banyak menghabiskan masa mempelajari ilmu agama Islam di masjid-masjid selain menyertai kumpulan tabligh.
Bagaimanapun, Izam tidak pernah melupakan bidang nyanyian kerana menganggap sudah sebati dengan dirinya.
Malah, dia tidak pernah melihat penghijrahannya sebagai satu halangan untuk kembali aktif asalkan tidak bercanggah dengan Islam.

Iwan Syahman
SEKITAR tahun 90-an, penyanyi Iwan Syahman cukup laris sehingga pernah mencetuskan fenomena dengan genre dangdut.
Seiring dengan peningkatan usia, Iwan atau nama penuhnya, Wan Syahman Wan Yunus sudah berubah dan lebih mendekatkan diri ke jalan syurgawi ketika berusia 49 tahun.
Menurutnya, sikap anak-anaknya iaitu pelakon Aprena Manrose dan Oktovia Manrose (serta Wan Ramada Agus Putra) yang mengejek dirinya sewaktu kecil menjadi asbab utama yang menjentik hatinya untuk berubah.
Disebabkan kejadian menyedihkan itu, Iwan mula berkata dirinya mula menjadi resah memikirkan tentang anak-anak yang tidak suka padanya sekali gus menjentik hatinya untuk berubah ke arah kebaikan.
Sepanjang tempoh penghijrahan, Iwan tidak meninggalkan dunia seni begitu sahaja dan cenderung menyanyikan lagu nasyid dan ketuhanan.
Tahun lalu, dia memiliki pentauliahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk berdakwah dan mengajar di Selangor.

Ustaz Akhil Hayy
SEMASA zaman remaja, Ustaz Akhil Hayy merupakan salah seorang anggota kumpulan rock, D’Riyadh pada 1988.
Selepas itu, dia mengalami proses hijrah yang besar daripada seorang penyanyi muzik rock kepada seorang pendakwah bebas dan ikon nasyid terkenal di Malaysia.
Perubahan tersebut bermula apabila dia mendapat mimpi yang menginsafkan.
Malah, dia juga memotong rambutnya yang panjang yang dikatakan seperti puntianak agar kelihatan seperti lelaki sejati.

Saharul Ridzwan
KEKAL istiqamah dengan penghijrahannya sejak beberapa tahun lalu, Saharul Ridzwan kini memilih untuk berehat dari dunia lakonan dan memberi fokus mendalami bidang agama.
Pelakon yang terkenal menerusi drama Hati Perempuan itu turut menyertai jemaah tabligh yang dilihat sebagai satu usaha mengajak orang ramai kembali kepada jalan Allah dan menegakkan syiar Islam.
Dia bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk kembali berlakon sekiranya diberikan peluang, namun harus bergantung kepada jenis naskhah.
Proses penghijrahan Saharul bermula selepas bertemu dengan sahabatnya yang membawanya ke jalan yang sepatutnya.
Menurutnya, ucapan kata-kata daripada sahabatnya itu membuatkannya banyak berfikir dan cuba mencari laluan kepada keredaan.
The post 5 selebriti lelaki tinggalkan glamor nak kenal Tuhan appeared first on Kosmo Digital.
