5 Seni Tradisional Ini Dah Hampir Pupus. Pernah Tak Anda Dengar Tentangnya?

16 Apr 2023 • 8:30 AM MYT
KadangKaler
KadangKaler

Menulis kerana mindaku selalu berbicara, lantas kuluahkan dengan tulisan.

image is not available
Puan Ngot Binti Bi, penggiat seni tikar bergerang menunjukkan cara pembuatan kepada pelawatnya. Kredit foto: Facebook Pustaka Negeri Sarawak

Seni tradisional adalah warisan budaya yang penting untuk dijaga dan dilestarikan dari generasi ke generasi. Namun, beberapa seni tradisional di Malaysia sudah hampir pupus dan kehilangan popularitinya. Berikut penulis senaraikan lima seni tradisional di Malaysia yang hampir lenyap:

1. Anyaman Tikar Bergerang

Anyaman Tikar Bergerang adalah seni kraftangan dari Sarawak yang bernilai dari segi ekonomi dan budaya. Anyaman yang diwarisi masyarakat Melayu Sarawak ini menggunakan serat daun pandan sebagai bahan utama. Keunikan tikar ini adalah terletak kepada kebolehannya untuk digunakan di kedua-dua belah permukaan. Pada ketika dahulu, tikar ini digunakan sebagai alas menyambut kelahiran anak sulung, tikar sembahyang, hamparan ketika majlis perkahwinan dan alas dalam keranda oleh masyarakat Melayu Sarawak.

Puan Ngot binti Bi merupakan salah seorang penggiat tegar seni ini. Beliau yang dilahirkan pada tahun 1932 turut diiktiraf oleh Kraftangan Malaysia dengan gelaran Adiguru Kraf Anyaman Bergerang. Jika tidak ada usaha untuk memperkenalkannya kepada genarasi baru, teknik pembuatan anyaman tikar bergerang akan pupus ditelan masa.

2. Rebana Kercing

Image from: 5 Seni Tradisional Ini Dah Hampir Pupus. Pernah Tak Anda Dengar Tentangnya?
Persembahan rebana kercing. Kredit foto: Sinar Harian

Rebana Kercing adalah alat musik yang digunakan dalam musik tradisional Melayu. Seni ini wujud sejak lebih 150 tahun lalu lagi dan bertapak di Kampung Laut di Tumpat, Kelantan. Pedagang Arab membawa masuk rebana jenis ini ke Tanah Melayu sebelum ianya diolah dengan elemen kemelayuan oleh masyarakat tempatan.

Seni ini dipersembahkan dengan cara orang dewasa bertindak sebagai pemalu rebana dan golongan kanak-kanak sebagai penarinya. Menurut Persatuan Rebana Kercing pada tahun 2022, jumlah penggiat yang bernaung di bawah satu-satunya organisasi di negara ini berkurang daripada 200 orang satu ketika dulu kepada hanya 50 orang kini. 

3. Keringkam

Image from: 5 Seni Tradisional Ini Dah Hampir Pupus. Pernah Tak Anda Dengar Tentangnya?
Contoh kain-kain yang menggunakan sulaman keringkam. Kredit foto: Kosmo Digital

Keringkam adalah seni yang melibatkan teknik sulam yang rumit pada kain tradisional. Suatu masa dahulu, kemahiran menyulam ini adalah dikhaskan hanya buat kaum wanita di perkampungan Melayu di Kuching, Sarawak. Seni ini memerlukan ketekunan yang tinggi dan kerumitannya membuatkan harga bagi fabrik ini melambung tinggi. Dengan peredaran masa, kaum lelaki juga mula bergiat dengan seni ini namun bilangan penggiatnya masih belum cukup ramai untuk memastikan kelestarian seni Keringkam. 

4. Awang Batil

Image from: 5 Seni Tradisional Ini Dah Hampir Pupus. Pernah Tak Anda Dengar Tentangnya?
Encik Romli Mahmud, pewaris akhir seni Awang Batil. Kredit foto: Utusan Malaysia

Awang Batil merupakan seni berbentuk teater penglipur lara yang bertapak di Perlis. Pada asalnya, Awang Batil dikenali dengan nama 'Awang Belanga' kerana menggunakan belanga sebagai alat muzik ketika melakukan penceritaan daripada satu babak kepada babak yang lain.

Berdasarkan penceritaan pewaris akhir seni ini, Encik Romli Mahmud, 69 tahun - Awang Batil akan mengembara dari kampung ke kampung serta dari rumah ke rumah untuk menceritakan kisah seperti Raja Dewa Lok, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Lang, Cerita Angan-angan, Jabat Jabit, Abu Nawas dan Awang Ada Duit Semua Jadi. Encik Romli juga ada menyuarakan kebimbangan dengan ketiadaan dia nanti, seni yang sudah beratusan tahun ini mungkin akan turut lenyap. Maka sesuatu hendaklah dilakukan segera agar warisan Awang Batil dapat diteruskan. 

5. Wau Daun Palas

Image from: 5 Seni Tradisional Ini Dah Hampir Pupus. Pernah Tak Anda Dengar Tentangnya?
Wau daun palas. Kredit foto: Bebas News

Pada zaman dahulu di Perlis, masyarakat menggunakan daun palas untuk membuat wau sebelum penggunaan kertas diperkenalkan. Menurut salah seorang pembuat wau ini, Samat Man yang kini berusia 70 tahun, kali terakhir beliau melihat pembuat wau guna daun palas adalah sekitar tahun 1970-an. Jelas di sini bahawa sudah terlalu lama kita tidak melihat seni ini diperlihatkan kepada masyarakat. Menurutnya lagi, proses membuat wau palas adalah lebih rumit dan mengambil masa yang agak panjang berbanding wau biasa. Ini kerana ianya memerlukan ketelitian bermula daripada proses mengeringkan, membentuk, menjahit daun dan melekatkan daun palas pada badan wau. Faktor ini menyebabkan ramai yang tidak berminat mempelajari seni ini.

Sebagai kesimpulannya, seni tradisional di Malaysia memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat. Tanpa seni tradisional, kita akan kehilangan jati diri serta warisan dari generasi yang terlebih dahulu dari kita. Sejujurnya penulis berharap agar usaha lebih keras boleh diambil selepas ini untuk memastikan bahawa seni-seni ini tidak lenyap ditelan zaman dan dapat terus diwarisi oleh generasi-generasi yang akan datang.

Rujukan:


KadangKaler adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.