
SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerajaan Negeri membuka 50,000 kuota pendaftaran baharu Skim Mesra mulai esok, dengan penerima layak menikmati insentif tahunan RM150 bermula 2027.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata bantuan berkenaan diberikan kepada dua kumpulan sasaran iaitu warga emas berumur 60 tahun ke atas serta orang kurang upaya (OKU) di Selangor.
Menurutnya, insentif kewangan itu disalurkan sempena bulan kelahiran penerima sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada golongan berkenaan.
“Pendaftaran dibuka khusus kepada warga Selangor yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan bagi memastikan manfaat dapat disalurkan secara adil dan saksama,” katanya menerusi kenyataan.
Bagi kategori warga emas, pemohon mestilah warganegara Malaysia, berumur 60 tahun dan ke atas serta merupakan pengundi berdaftar yang menetap di Selangor.
Bagi kategori OKU pula, pemohon perlu memiliki kad OKU sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berstatus warganegara Malaysia tanpa had umur untuk pendaftaran.
Pemohon OKU berumur 19 tahun dan ke atas perlu menjadi pengundi berdaftar serta menetap di Selangor, manakala bagi mereka berumur 18 tahun dan ke bawah, syarat berkenaan terpakai kepada ibu atau bapa.
Anfaal berkata permohonan dibuka secara dalam talian mulai jam 8 pagi, 17 September menerusi portal rasmi Skim Mesra Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).
“Permohonan dibuka pada tahun ini, manakala agihan manfaat akan bermula pada 2027,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri kekal komited memperluas agenda kebajikan dan pemberdayaan masyarakat bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menikmati kemajuan Selangor.






