50 tahun peluru tembakan lanun 'tertanam' di bahu Jakarta

1 Oct 2026 • 3:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 50 tahun peluru tembakan lanun 'tertanam' di bahu Jakarta
Jakarta menerima Anugerah Tokoh Wira PPM 2026 pada Khamis.
Image from: 50 tahun peluru tembakan lanun 'tertanam' di bahu Jakarta
Jakarta menerima penghargaan Anugerah Tokoh Wira PPM 2026 yang disampaikan Mohd Yusri ketika Sambutan Hari Ulang Tahun PPM Ke-79 pada Khamis. Foto: Polis Selangor

KLANG - Peluru berkaliber 7.62 milimeter yang masih 'tertanam' di bahu kiri hingga kini menjadi bukti pengorbanan seorang bekas anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang terlibat pertempuran dengan kumpulan lanun bersenjata di perairan Lahad Datu, Sabah pada Jun 1976.

Berkongsikan kisah itu, Sub Inspektor (B) Jakarta Makling berkata, ketika itu beliau bertugas sebagai kru Kapal Ronda PX27.

"Saya terlibat secara langsung dalam pertempuran dengan kumpulan lanun bersenjata di perairan Lahad Datu, Sabah.

"Dalam pertempuran itu, saya telah terkena tembakan sehingga mengalami kecederaan pada bahu kiri. Ketika itu terus terduduk dan masih memegang senjata untuk pertahankan diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Ulang Tahun PPM Ke-79 di Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang di sini pada Khamis.

Beliau sebelum itu menerima Anugerah Tokoh Wira PPM 2026 yang disampaikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Bercerita lanjut, pesara berusia 72 tahun berasal dari Semporna, Sabah itu berkata, peluru itu masih kekal di bahu kirinya sehingga kini.

Tambahnya, peluru ini tidak dikeluarkan dari bahu kerana risiko yang menjejaskan saraf di tangan.

"Kalau pembedahan ketika itu diteruskan dan terpotong pada saraf, tangan berisiko mengecil. Jadi peluru itu dibiarkan sampai sekarang," kata bapa kepada enam anak.

Jakarta menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 28 Mei 1972 dan menamatkan perkhidmatan setelah bersara pada 12 Oktober 2012.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah berkhidmat sebagai kru di beberapa buah kapal ronda PPM, antaranya P8, PX16, PX27, PA7 dan PX30, sebelum mengakhiri perkhidmatan sebagai Sub Inspektor Keselamatan Pangkalan PPM Sandakan, Sabah.

**media[3664517]**

Jakarta yang juga anak ketiga daripada sembilan beradik itu terlibat secara langsung dalam lapan pertempuran dengan kumpulan lanun bersenjata di perairan Lahad Datu, Sabah.

Hasil keberanian, tindakan tegas dan kecekapannya bersama pasukan, ancaman kumpulan lanun berkenaan berjaya ditumpaskan, termasuk tiga orang lanun yang ditembak mati dalam pertempuran tersebut.

Antara pertempuran laim yang beliau terlibat pada Ogos 1976 dengan sembilan lanun bersenjata yang menawan Pulau Bakungan Kecil, Sandakan, Sabah.

Dalam tempoh tahun 1992 hingga 2002, ketika bertugas sebagai kru bot ronda PPM, beliau terlibat secara langsung dalam lima pertempuran dengan kumpulan bersenjata di perairan Lahad Datu, Sabah sehingga berjaya menumpaskan ancaman berkenaan, termasuk menembak mati tiga ahli kumpulan bersenjata.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, Anugerah Tokoh Wira PPM 2026 diwujudkan bagi mengenang jasa dan pengorbanan warga PPM yang menunjukkan keberanian, dedikasi dan kecemerlangan dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara.

"Pengiktirafan ini bukan semata-mata tertumpu kepada seseorang individu sahaja, malah ianya merupakan sebuah penghormatan kepada seluruh keluarga besar PPM," ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved