
KLANG – Peluru berkaliber 7.62 milimeter yang ‘bersarang’ di bahu kiri selama 50 tahun menjadi bukti pengorbanan Sub Inspektor (B) Jakarta Makling ketika bertempur dengan lanun di perairan Lahad Datu, Sabah.
Jakarta, 72, berkata, dia terkena tembakan ketika berusia 23 tahun dalam satu pertempuran dengan kumpulan lanun pada 1976, ketika baru empat tahun berkhidmat dalam Pasukan Polis Marin (PPM).
Menurutnya, tembakan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang membanteras kegiatan lanun yang mengancam keselamatan perairan Sabah.
“Bot kami ditembak dan salah satu peluru mengenai bahu kiri saya. Walaupun terkena tembakan, saya masih memegang senjata dan membalas tembakan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Tokoh Wira PPM pertama yang disampaikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd. Yusri Hasan Basri pada Hari Sambutan Ulang Tahun ke-79 PPM di Markas Operasi PPM Wilayah 1 di sini hari ini.
Beliau yang berasal dari Semporna, Sabah itu memaklumkan peluru berkenaan tidak dikeluarkan sehingga kini kerana ketika itu kemudahan perubatan tidak lengkap, selain pembedahan berisiko menjejaskan urat saraf pada tangannya.
“Kalau pembedahan itu melibatkan urat saraf dan terpotong, tangan saya mungkin mengecil. Jadi peluru itu dibiarkan sahaja sampai sekarang,” katanya.
Bercerita lanjut, anak ketiga daripada sembilan beradik memberitahu terlibat dalam lapan pertempuran dengan lanun sepanjang 40 tahun berkhidmat dalam PPM bermula 1972 hingga 2012.
Ujarnya, enam pertempuran berlaku di Lahad Datu dan dua di Sandakan dengan berjaya menembak mati tiga lanun.
“Sepanjang tempoh pertempuran dihadapi, saya bersama anggota dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya menawan sembilan lanun selain merampas 11 laras senjata digunakan mereka dalam kejadian di
Pulau Bakungan Kecil, Sandakan pada Ogos 1976,” katanya.
Jakarta berkata, perkembangan aset dan teknologi pasukan keselamatan hari ini jauh lebih baik berbanding ketika beliau mula bertugas.
“Sekarang aset kita semakin canggih berbanding dahulu. Banyak perkara sudah berubah mengikut zaman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang mempunyai 13 cucu tersebut, langsung tidak menyangka menerima penghormatan tersebut yang disifatkan paling tinggi pencapaian dalam hidupnyam
“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini. Kini ada seorang anak mengikuti jejak dengan menyertai Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kini berpangkat sarjan di PGA Bukit Galing, Kuantan Pahang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Peluru lanun 50 tahun dalam bahu Jakarta appeared first on Kosmo Online.






