500 pejuang Houthi ‘dineutralkan’ tentera Yaman

3 Nov 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 500 pejuang Houthi ‘dineutralkan’ tentera Yaman

SANAA: Tentera Yaman mendakwa tenteranya berjaya meneutralkan hampir 500 anggota kumpulan Houthi, termasuk komander lapangan, menerusi 1,272 operasi yang dilancarkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Jurucakap tentera, Mejar Majed al-Nuzaili berkata, operasi itu turut memusnahkan atau merosakkan 169 kenderaan, peralatan ketenteraan dan senjata berat milik kumpulan berke­naan.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jumlah anggota Houthi yang terbunuh atau ce­dera dalam operasi itu.

Dalam kenyataan menerusi platform media sosial X, al-Nuzaili berkata, serangan me­nyasarkan kedudukan Houthi, konvoi bantuan, kubu pertahanan, posisi tembakan dan laluan bekalan sebagai sebahagian daripada Operasi Fajar Yaman.

Menurut beliau, operasi itu bertujuan menyokong kemaraan pasukan darat dan merampas semula kedudukan strategik di medan Al-Jawf, utara Yaman.

Pasukan kerajaan turut meneruskan operasi ketenteraan di wilayah Marib, Al-Bayda, Lahj dan Taiz.

Tentera Yaman di Taiz bersama pejuang Penentangan  Popular yang bersekutu dengan kerajaan terus bertempur dengan kumpulan Houthi dengan sokongan pesawat pejuang dron dan artileri.

Beliau berkata, tentera turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi orang awam dan infrastruktur awam sepanjang operasi dijalankan.

Terdahulu, tentera mengumumkan berjaya menembak jatuh dua dron milik Houthi dan melancarkan serangan udara ke atas kedudukan kumpulan itu di daerah Al-Misrakh, selatan Taiz.

Dalam perkembangan berasi­ngan, Kementerian Dalam Nege­ri memaklumkan serangan dron Houthi ke atas sebuah rumah di barat Taiz mengorbankan seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan, selain mencederakan seorang lagi wanita.

Sejak 5 Oktober lalu, tentera kerajaan melancarkan Operasi Fajar Yaman bagi memulihkan institusi negara daripada pe­nguasaan Houthi serta merampas semula ibu negara, Sanaa.

Pertempuran antara pasukan kerajaan dengan Houthi kembali memuncak pada Julai lalu, mengakibatkan ribuan orang terbunuh dan cedera, selain lebih 250,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – ANADOLU

 

The post 500 pejuang Houthi ‘dineutralkan’ tentera Yaman appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved