
Kota Kinabalu: Kira-kira 500 murid dan pelajar di perumahan Sabah Forest Industries (SFI), Sipitang, berhadapan risiko pembelajaran terganggu disebabkan bekalan elektrik sudah enam bulan tidak disambung.
Wakil penduduk SFI, Jeffridin Baudi berkata, kesemua penduduk di perumahan itu masih tidak disambung bekalan elektrik dan menyebabkan anak-anak mereka terpaksa belajar dalam keadaan bergelap.
“Perkara ini sudah berlarutan selama enam bulan apabila penduduk terpaksa bergantung dengan set generator atau lilin pada waktu malam bagi kemudahan anak-anak mereka belajar.
“Tetapi itu semua memerlukan kos yang tinggi. Saya sendiri menggunakan set generator dan terpaksa membelanjakan wang sebanyak RM1,500 sebulan untuk petrol.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more “Itu bagi yang berkemampuan, tetapi bagi yang kurang berkemampuan terpaksa menggunakan lilin itu pun juga memerlukan kos dan bahaya kerana boleh menyebabkan kebakaran.
“Sampai bila kami terpaksa bergantung dengan lilin dan set generator yang akhirnya akan menyebabkan pelajar di kawasan ini tertekan dan berisiko merosot pembelajaran mereka,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Jeffridin berkata, selepas masalah penduduk dilaporkan, mereka cuma menerima makluman daripada Pegawai Khas Ketua Menteri bahawa keputusan perlu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Peguam Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Pegawai Khas Ketua Menteri memaklumkan pada saya pada Isnin lalu bahawa selepas Ketua Menteri mendapat input daripada mereka berdua barulah keputusan akan dibuat.
“Jika kedua-duanya tidak dapat memberi jawapan, secara tidak langsung kami terpaksa menunggu dan terus menunggu di mana kini sudah enam bulan penduduk tiada bekalan elektrik,” katanya.
Sehubungan itu, Jeffridin yang juga mewakili kira-kira 1,800 penduduk sekali lagi merayu kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor supaya dapat melihat masalah yang dihadapi.
“Kami berharap Ketua Menteri dapat memberi kebenaran kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk menyambung semula bekalan elektrik di perumahan tersebut.
“Arahan mahkamah masih terpakai untuk kami tinggal di SFI jadi kemudahan bekalan air dan elektrik sepatutnya masih diterima oleh penduduk di mana kami sanggup membayar tunggakan bil elektrik masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, ditanya mengenai masalah tunggakan gaji pekerja kilang berkenaan, Jeffridin yang juga Pegawai Pentadbiran Eksekutif memaklumkan mereka juga masih menunggu gaji yang tertunggak selama lima bulan sebelum ini.
“Kami juga mendesak supaya gaji dan pampasan dibayar sepenuhnya. Kalau betul mahu kami keluar daripada perumahan SFI, gaji dan pampasan perlu dibayar sebab kami masih lagi pekerja SFI dan bukan bekas pekerja.
“Kami hanya diberikan cuti tanpa gaji dan setakat ini kami ada lima bulan gaji yang masih tertunggak,” jelasnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



