
SANDAKAN: Seramai 542 warga Filipina diusir pulang ke negara asal mereka dari sini, pada petang Rabu.
Ini dibuat menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) Siri 8 untuk kategori usir melalui laut bagi 2023, yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah).
Daripada jumlah itu, terdapat 422 lelaki dan 92 wanita berusia antara 13 hingga 78 tahun, serta 24 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan empat kanak-kanak 23 bulan ke bawah.
Kanak-kanak terbabit bersama ibu, bapa dan penjaga masing-masing.
Kesemua warga asing itu dihantar pulang dengan menggunakan Feri MV Antonia 1 dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi pemindahan ini merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh negeri Sabah.
“Penghantaran tahanan PTI kali ini hanya melibatkan tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Tawau sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Tambahnya, kesemua PTI yang ditahan di depot Imigresen itu telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963, membawa kepada tindakan pemindahan keluar dari negara.
Saleha menjelaskan, JIM Sabah komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PTI ini setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara, dan setelah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.
Sementara itu, Saleha menegaskan, semua warga asing perlu memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja terlebih dahulu sebelum masuk ke Malaysia, dan tidak melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

