
56 Kes, Dua Kematian Akibat Strok Haba Direkodkan Setakat Ini – KKM
Sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara, termasuk dua kematian akibat strok haba bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini.
Menerusi kenyataan KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA di Facebook, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada 3 Mei 2026 menunjukkan beberapa negeri berada pada Tahap Amaran 1 (Berjaga-jaga), dengan suhu maksimum harian antara 35°C hingga 37°C sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Difahamkan, antara negeri yang terlibat termasuk Kedah, Kelantan dan Sabah.
Daripada jumlah tersebut, 47 kes melibatkan kelesuan haba, empat kes strok haba exertional, empat kes strok haba dan satu kes kejang haba.
Selain itu, KKM turut memaklumkan bahawa dua kes kematian akibat strok haba telah dilaporkan tahun ini.
Kedua-dua kematian strok haba berlaku ketika Tahap Amaran 1
Kes berkenaan melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang ditinggalkan di dalam kenderaan, serta seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai aktiviti maraton di Pulau Pinang.
Kedua-dua kejadian berlaku ketika keadaan cuaca berada di bawah Tahap Amaran 1.
"Namun, faktor risiko utama dikenal pasti adalah pendedahan kepada haba melampau dalam persekitaran tertutup dan aktiviti fizikal lasak dalam tempoh yang panjang, yang menyebabkan dehidrasi teruk serta kegagalan kawal atur suhu badan," ujar kenyataan itu.
KKM menegaskan bahawa individu yang mengalami gejala seperti pening, mual, kekejangan otot atau keletihan melampau perlu mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan.
Dalam masa sama, KKM menggesa semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan penganjur aktiviti luar supaya mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba.
"Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang METMalaysia https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas dan serta panduan kesihatan melalui portal rasmi KKM.
Baca juga:




