59% penerima SARA tidak dapat gunakan bantuan di kedai runcit pilihan - MRCA

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 4:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

59% penerima SARA tidak dapat gunakan bantuan di kedai runcit pilihan - MRCA Image from: 59% penerima SARA tidak dapat gunakan bantuan di kedai runcit pilihan - MRCA amree05/10/2026 - 16:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt — Sebanyak 59% penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak dapat menggunakan bantuan berkenaan di saluran peruncitan pilihan mereka sepanjang tahun lalu, sekali gus mendorong sebahagian besar pengguna beralih ke kedai lain untuk mendapatkan barangan keperluan.

 

Kajian Kesan SARA Terhadap Corak Perbelanjaan yang melibatkan 1,000 rakyat Malaysia itu mendapati 72% responden terpaksa beralih ke kedai lain kerana premis kebiasaan mereka tidak menerima SARA, manakala 44% sanggup bergerak jauh bagi mendapatkan peruncit berdaftar dalam rangkaian SARA.

 

Hasil kajian Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia (MRCA) yang dijalankan dengan Ipsos di Semenanjung Malaysia turut menunjukkan faktor lokasi menjadi antara pertimbangan utama pengguna, dengan 77% memilih premis berdekatan rumah, diikuti pasar mini (74%), kedai serbaneka (66%) dan pasar raya (51%).

 

"Dapatan berkenaan menunjukkan penerimaan SARA semakin mempengaruhi lokasi rakyat berbelanja, selain mendedahkan jurang antara pilihan sebenar pengguna dengan premis peruncitan yang layak menerima bantuan kerajaan tersebut," jelas organisasi tersebut dalam satu kenyataan.

 

Dalam pada itu ujarnya, 69% responden membeli sayur-sayuran dan buah-buahan segar, manakala 68% mendapatkan daging segar, ayam, makanan laut atau telur, namun sebahagian besar kategori makanan segar berkenaan masih tidak diliputi SARA.

 

Isi rumah turut bergantung kepada pelbagai format peruncitan untuk mendapatkan keperluan harian, termasuk kedai serbaneka (56%), kedai mini (55%), farmasi (46%) dan pasar basah (45%), sedangkan kedai serbaneka, farmasi dan pasar awam tidak termasuk dalam saluran peruncit SARA yang layak.

 

Sumbangan Asas Rahmah_DagangNews2026

 

Sebanyak 77% responden pula tambahnya, menyatakan SARA akan menjadi lebih bermanfaat sekiranya bantuan bulanan tersebut boleh digunakan di kedai serbaneka, manakala kira-kira 97% menyokong kemasukan kedai serbaneka dan 92% menyokong farmasi dalam rangkaian peruncit SARA.

 

Presiden MRCA, Datuk Liew Bin berkata, rakyat yang berkelayakan seharusnya mempunyai lebih banyak pilihan untuk mereka dapat menggunakan bantuan SARA di premis yang memudahkan pembelian, termasuk kedai serbaneka, farmasi, pasar mini dan pasar raya.

 

“Rangkaian peruncit adalah penting bagi memastikan akses dan kemudahan sebenar buat penerima SARA. Kami sehubungan itu menggesa kerajaan agar dapat memberi persaingan yang adil kepada rangkaian kedai serbaneka dan farmasi,” kata beliau.

 

Dapatan itu hadir ketika rangkaian peruncit SARA terus diperluaskan, dengan Kementerian Kewangan (MoF) sebelum ini menyasarkan 10,000 kedai runcit kecil sebagai rakan peruncit SARA menjelang akhir 2026, manakala lebih 13,500 kedai di seluruh negara dilaporkan berdaftar setakat Jun 2026.

 

MRCA berkata, dua cadangan utama untuk fasa SARA seterusnya ialah memperluaskan kelayakan kepada makanan segar terpilih, selain mengiktiraf kedai serbaneka, farmasi serta pasar awam bagi menangani jurang akses dan memastikan bantuan itu lebih selari dengan lokasi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved