5E Resources terima kelulusan Bursa Malaysia untuk penyenaraian Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
31 Dec 2025 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

5E Resources terima kelulusan Bursa Malaysia untuk penyenaraian Pasaran ACE image is not available haziq31/12/2025 - 17:50 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Dis – 5E Resources Holdings Berhad, penyedia perkhidmatan pengurusan sisa menerima kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad untuk penyenaraian yang dicadangkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Menurut 5E Resources dalam kenyataan hari ini, penyenaraian yang disasarkan pada suku kedua 2026 itu akan mengukuhkan asas modal syarikat serta menyokong fasa seterusnya pengembangan perniagaan, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan pengurusan sisa berjadual dan ekonomi kitaran.

 

Melalui anak-anak syarikatnya, 5E Resources terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pengurusan sisa berjadual merangkumi pengujian, pengumpulan, pemulihan serta kitar semula sisa berjadual.

 

Kumpulan itu turut membekalkan produk yang dipulih dan dikitar semula, selain menjalankan perdagangan bahan kimia dan produk berkaitan.

 

Syarikat itu dilesenkan untuk menguruskan 34 daripada 77 kategori sisa berjadual yang dikawal selia, serta mengendalikan beberapa kemudahan berlesen di Johor, dengan perancangan pengembangan ke Perak.

 

Operasinya disokong oleh makmal dalaman bertauliah dan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan pengoptimuman proses dan pemulihan nilai secara berterusan.

 

Bagi cadangan tawaran awam permulaan (IPO), 5E Resources akan menerbitkan 304.5 juta saham baharu dan menawarkan 154.0 juta saham sedia ada untuk dijual, yang secara keseluruhan mewakili 29.8% daripada modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 1.54 bilion saham selepas penyenaraian.

 

Daripada 304.5 juta saham terbitan awam itu, 77.0 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 35.0 juta saham kepada pengarah, kakitangan serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan, manakala 192.5 juta saham lagi melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

 

IPO itu turut merangkumi tawaran jualan 154.0 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 5E Resources, Lim Te Hua berkata, kelulusan Bursa Malaysia itu mencerminkan rekod operasi kukuh kumpulan, pematuhan kawal selia serta komitmen berterusan terhadap pengurusan sisa yang mampan.

 

“Syarikat ingin merakamkan penghargaan kepada Bursa Malaysia atas kelulusan ini. Ia merupakan satu pencapaian penting bagi 5E Resources dan mengukuhkan kedudukan kami untuk berkembang dengan lebih mampan. Ketika kami melangkah ke arah penyenaraian Pasaran ACE, fokus kami kekal kepada pengembangan keupayaan operasi, memperkukuh teknologi pemulihan dan kitar semula serta menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi kitaran,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku Mun Fong berkata, pihaknya berbesar hati menyokong 5E Resources dalam proses penyenaraian tersebut.

 

“Dengan asas operasi yang kukuh dan strategi pertumbuhan yang jelas, syarikat percaya 5E Resources berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang dalam sektor pengurusan sisa berjadual di Malaysia. IPO ini akan memberikan fleksibiliti kewangan bagi memperluas kemudahan dan meningkatkan penawaran perkhidmatan kumpulan,” katanya.

 

TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO yang dicadangkan itu.

 

Menurut kenyataan itu, hasil IPO akan digunakan sebahagiannya untuk membiayai pembinaan serta pembelian mesin dan peralatan bagi kemudahan pengurusan sisa berjadual baharu di Perak, selain menyokong keperluan modal kerja, selaras dengan strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

Katanya, 5E Resources optimis dapat memanfaatkan dana hasil IPO bagi memacu pertumbuhan mampan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan strategik dalam ekosistem ekonomi kitaran Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard