haziq31/12/2025 - 18:06 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus komited memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara menerusi pelancaran inisiatif Dapur Madani Alumni @ KOSASS, yang dilihat sebagai usaha berterusan universiti bersama alumni dalam menangani kos sara hidup pelajar.
Menurut UPM dalam kenyataan hari ini, program yang dilancarkan pada 17 Disember 2025 itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Persatuan Alumni UPM dan Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS).
Katanya, inisiatif tersebut bukan sekadar menyediakan bantuan material, malah mencerminkan keprihatinan serta hubungan erat alumni terhadap alma mater, khususnya dalam menyokong kesejahteraan mahasiswa.
Melalui program itu, sebanyak RM10,000 sumbangan daripada Yayasan PEKEMA telah disalurkan menerusi Persatuan Alumni UPM bagi penyediaan barangan keperluan asas daripada Syarikat Faiza Sdn Bhd.
Inisiatif berkenaan turut diperkasakan dengan sumbangan makanan sedia dimakan bernilai RM20,000 daripada Chapter Yosh bersama MyFundAction, sekali gus memastikan pelajar mendapat akses kepada makanan berkhasiat dengan lebih mudah.
Majlis simbolik penyerahan sumbangan yang berlangsung di ruang legar Bangunan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Inovasi dan Penyelidikan) itu diserikan dengan kehadiran Naib Presiden PEKEMA, Raja Petra Marudin; Ahli Jawatankuasa PEKEMA, Hafiz; Ahli Lembaga Pengarah Yayasan PEKEMA, Suhaimi; wakil Chapter Yosh (MyFundAction); Pengurus Besar Kanan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Dr Salwa Abu Bakar; Presiden Persatuan Alumni UPM, Norashedy Ab Rashid; serta Pengarah ARCUPM, Fahmi Azar Mistar sebagai rakan strategik program.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan Dapur Madani Alumni @ KOSASS selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menangani isu kewangan mahasiswa dan memastikan akses kepada keperluan makanan yang lebih baik dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.
Katanya, menerusi kemudahan yang disediakan, mahasiswa KOSASS dapat memasak sendiri makanan harian, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan dan kos sara hidup.
UPM berkata, pihaknya berharap program berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan dan diperluaskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang dalam menyokong kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa. - DagangNews.com


